Sekumpulan penunjuk perasaan mengecam pihak polis kerana didakwa menghalang usaha mereka untuk menyerahkan dua memorandum kepada Ahli Parlimen di Parlimen pagi tadi.
Secara kebetulan, salah satu memorandum tersebut menuntut reformasi terhadap Akta Perhimpunan Aman 2012 manakala satu lagi menggesa pemansuhan Akta Hasutan 1948.
Menurut penganjur, Sekretariat Himpun perhimpunan berlangsung secara aman namun disambut dengan kehadiran besar pihak polis yang membentuk benteng manusia kurang 100 meter dari pintu masuk kompleks Parlimen.
Difahamkan, lebih 60 anggota polis termasuk pasukan Light Strike Force (LSF) terbabit dalam halangan tersebut, dengan alasan kawasan itu dikategorikan sebagai “kawasan larangan”.
Seorang penunjuk perasaan juga mendakwa telah ditolak oleh seorang pegawai polis ketika rundingan sedang berlangsung antara peserta himpunan dan pihak berkuasa.
“Sebelum pandemik Covid-19, perhimpunan aman dibenarkan berlangsung sehingga ke pintu pagar Parlimen untuk menyerahkan memorandum.
“Sejak itu, akses telah dikekang secara sewenang-wenangnya, dengan peserta perhimpunan hanya dibenarkan berkumpul di jalan awam di luar kawasan parlimen, sekali gus menjejaskan fungsi demokratik perhimpunan.
“Seperti yang ditegaskan oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Kebebasan Berhimpun, protes merangkumi hak untuk menunjuk perasaan ‘dalam pandangan dan jangkauan pendengaran’ khalayak yang disasarkan.
“Inilah fungsi asas demokrasi bagi sesuatu perhimpunan – membawa tuntutan rakyat secara langsung kepada pihak berkuasa,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu turut disokong oleh 12 pertubuhan masyarakat sivil, termasuk Mandiri, Suaram, Bersih, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Liga Mahasiswa Malaysia, Justice for Sisters, Amnesty International Malaysia dan Center to Combat Corruption and Cronyism (C4).
Akibat sekatan itu, Sekretariat Himpun berkata ahli parlimen dan wakil mereka terpaksa keluar dari kawasan Parlimen untuk menerima memorandum berkenaan.
Kumpulan itu menggesa agar akses awam yang bermakna ke parlimen dipulihkan, termasuk penyediaan protokol yang jelas dan munasabah bagi tujuan perhimpunan — selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa — agar rakyat dapat mendekati Parlimen untuk menyerahkan memorandum.
Dalam memorandum berkaitan Akta Perhimpunan Aman, kumpulan itu menyorot beberapa masalah dalam undang-undang sedia ada dan menggesa kerajaan menangguhkan cadangan pindaan akta tersebut.
Penangguhan itu bertujuan memberikan ruang untuk perbincangan menyeluruh bersama pelbagai pihak berkepentingan, seperti kumpulan hak asasi manusia dan organisasi masyarakat sivil, sebelum rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen.
Bagi memorandum mengenai Akta Hasutan, kumpulan tersebut menggesa kerajaan mengeluarkan moratorium ke atas penguatkuasaannya, sementara menunggu pemansuhan penuh undang-undang tersebut.
Mereka menegaskan terdapat kes-kes di mana Akta Hasutan didakwa telah disalahgunakan untuk menekan suara yang tidak sehaluan.
“Pindaan terhadap Akta Hasutan tidak akan membantu menangani isu 3R (Kaum, Agama, Institusi Diraja) secara berkesan ataupun mengurangkan ucapan kebencian.
“Sebaliknya, peruntukannya telah menjadi alat penyalahgunaan oleh kerajaan — dengan ketiadaan takrifan jelas terhadap apa yang dimaksudkan sebagai ‘kecenderungan menghasut’ dan tanpa keperluan untuk membuktikan niat sebelum siasatan atau pendakwaan dimulakan.
“Mengubah suai undang-undang berusia 76 tahun ini tidak akan mengubah status quo — di mana kerajaan terus menentukan batas kebebasan bersuara mengikut kehendaknya sendiri.
“Keadaan ini hanya mengukuhkan budaya penapisan kendiri, menyekat perbahasan awam yang konstruktif dan penyertaan demokratik,” kata kenyataan itu lagi.
Pada April 2025, kerajaan mengumumkan pindaan terhadap Akta Perhimpunan Aman akan dibentangkan di Parlimen dalam sidang kedua atau ketiga tahun ini.
Antara lain, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat pada 13 Februari bahawa kerajaan bersetuju untuk meminda undang-undang tersebut dan memansuhkan keperluan mendapatkan kebenaran daripada pemilik lokasi perhimpunan.
Pada 1 Julai, Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman – yang menghukum penganjur perhimpunan jika gagal memberikan notis lima hari kepada polis – bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.