Malaysia Oversight

Penumpang juga punca masalah Aerotrain KLIA

By MkiniBM in October 13, 2025 – Reading time 1 minute
Penumpang juga punca masalah Aerotrain KLIA


PARLIMEN | Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah, berkata tidak semua masalah yang dihadapi oleh Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berpunca daripada kelemahan sistem, kerana ada juga yang disebabkan oleh tindakan penumpang sendiri.

Bercakap di Dewan Rakyat, Hasbi berkata terdapat penumpang yang memaksa pintu tren dibuka secara manual.

“Ada pegawai tempatkan dalam tren itu sendiri, technician (juruteknik) untuk memastikan sekiranya apa-apa berlaku (tren) dapat diteruskan dan dibaikkan terus (serta-merta),” katanya.

Menurunya, Aerotrain mengalami gangguan sebanyak 19 kali dari 2 Julai hingga 30 September.

Perkhidmatan Aerotrain kembali beroperasi 24 jam selepas kerja-kerja penyelenggaraan selesai dijalankan antara 18 hingga 31 Ogos.

Perkhidmatan itu sebelum ini dilancarkan semula pada 1 Julai selepas digantung hampir 28 bulan bagi tujuan baik pulih menyeluruh.

Projek baik pulih tersebut melibatkan penggantian tren dan infrastruktur lama di bawah Pelan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bernilai RM742 juta.

Mengulas lanjut, Hasbi berkata pengeluar peralatan asal (OEM), Alstom, boleh dikenakan penalti sehingga RM190,000 sebulan sekiranya gagal memenuhi syarat operasi Aerotrain.

“Pihak OEM perlu memastikan ketersediaan tren pada 100 peratus untuk satu tren beroperasi dan 99.5 peratus untuk dua tren beroperasi,” jelasnya.

Dia berkata langkah itu penting bagi memastikan operasi tren sentiasa berada pada tahap yang tinggi.



Source link