KANGAR: Penulis sastera terkemuka, Rejab Ismail, 84, atau lebih dikenali dengan nama pena Rejab F.I. dilaporkan meninggal dunia, awal pagi ini.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Tanjung Gorah, Repoh, di sini.
Jenazah akan disolatkan di Masjid Tun Abdul Razak, Repoh, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Kembung, Kampung Repoh di sini.
Sepanjang penglibatan dalam dunia penulisan dan sastera, Rejab telah mengecapi beberapa pencapaian membanggakan termasuk menerima SEA Write Award (Malaysia) 2016.
Selain itu, anak kelahiran Perlis itu juga telah menghasilkan lebih 135 judul buku, termasuklah 45 buah novel (kanak-kanak, remaja dan dewasa), 23 antologi cerpen (termasuk kumpulan cerpen) dan empat buah kumpulan puisi, di samping judul-judul yang lain.
Allahyarham juga pernah menghasilkan 15 skrip drama televisyen, 20 skrip drama radio dan empat skrip drama pentas, di samping sejumlah lebih 200 buah cerpen dan lebih 400 buah puisinya tersiar dalam pelbagai penerbitan tanah air.
Antara penerbitan yang penting adalah kumpulan cerpen Papervine yang menghimpunkan 24 buah cerpen terbaik beliau malah turut diterbitkan semula dalam Edisi Karya Malar Segar Penerima SEA Write Award tahun ini.
Selain itu, beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Nasional (1971 dan 1972), Hadiah Sastera Esso-GAPENA (1985) dan Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1994, 1995, 1996, 1997, dan 1999).
Malah, beberapa buah karya beliau turut terpilih sebagai teks Komponen Sastera (KOMSAS) dan teks Kesusasteraan Melayu misalnya novel Sejambak Bakti (teks KOMSAS Tingkatan Satu Zon Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Johor).
Di samping itu, beberapa puisi dan cerpen dihasilkannya juga pernah diterjemahkan ke dalam bahasa lain seperti Rusia, Mandarin dan Bahasa Inggeris.-UTUSAN






