Malaysia Oversight

Penting Johor jaga air sendiri, bukan syarikat dilantik persekutuan

By MkiniBM in August 1, 2025 – Reading time 2 minute
Penting Johor jaga air sendiri, bukan syarikat dilantik persekutuan


Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah akan memantau dan cuba menyelesaikan isu gangguan bekalan air di Pontian yang berlaku baru-baru ini.

Tunku Mahkota Ismail telah memuat naik hantaran di Instagram memaparkan aduan dibuat pemilik akaun BrotherhoodJOHOR berserta jawapan baginda di platform media sosial X.

“Saya akan pantau dan cuba selesaikan dengan segera. Inilah pentingnya kita jaga air Johor, aset Johor sendiri dan bukan berada di bawah syarikat yang dilantik oleh Persekutuan (Federal).

“Doakan kewangan negeri meningkat di mana kita boleh beli saham air Johor dan meletakkan air negeri di bawah jagaan negeri. Insya-Allah,” titah baginda menerusi hantaran tersebut.

Tunku Mahkota Ismail berkenan menjawab aduan dikemukakan BrotherhoodJOHOR mengenai keluhan gangguan bekalan air di daerah berkenaan yang difahamkan telah memasuki hari keempat.

Sementara itu, operator air Johor Ranhill SAJ dalam kenyataan memaklumkan bekalan air ke beberapa kawasan di Pontian sedang dipulihkan secara berperingkat susulan insiden kegagalan teknikal melibatkan paip berukuran 750 milimeter (mm).

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja pembaikan telah disempurnakan sepenuhnya dan sistem agihan air dalam proses penstabilan bagi memastikan semua kawasan yang terjejas menerima semula bekalan seperti biasa.

“Sepanjang tempoh pemulihan, pihak Ranhill SAJ telah menggerakkan bantuan bekalan air menerusi lori tangki ke kawasan-kawasan kritikal, selain menyediakan tangki statik di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti bagi kemudahan pengguna,” menurut kenyataan tersebut.

Ranhill SAJ turut menzahirkan permohonan maaf atas segala kesulitan yang dihadapi pengguna dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua pihak sepanjang tempoh pemulihan itu.

Bernama



Source link