Malaysia Oversight

Pentadbiran Trump tambah senarai negara terlibat larangan perjalanan

By MkiniBM in December 5, 2025 – Reading time 1 minute
Pentadbiran Trump tambah senarai negara terlibat larangan perjalanan


Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat Kristi Noem berkata AS sedang memperluaskan larangan perjalanan sedia ada daripada 19 kepada lebih 30 negara susulan insiden tembakan berhampiran Rumah Putih, lapor Sputnik/RIA Novosti.

CBS News sebelum ini melaporkan bahawa pegawai AS sedang membincangkan perluasan larangan perjalanan semasa daripada 19 kepada kira-kira 30 negara.

“Saya tidak akan menyatakan jumlah tepat, tetapi ia melebihi 30, dan presiden terus menilai negara-negara terbabit,” kata Noem dalam wawancara bersama Fox News pada Khamis.

Pentadbiran mula mengetatkan dasar imigresen selepas kejadian tragis pada 26 November apabila seorang warga Afghanistan, yang dilaporkan diberikan suaka di AS awal tahun ini, mencederakan dua anggota Pengawal Negara berhampiran Rumah Putih di Washington DC.

Khamis lepas, Peguam Negara AS Pam Bondi berikrar bahawa pihak pendakwa AS akan menuntut hukuman mati terhadap penembak itu sekiranya mangsa meninggal dunia.

Pada hari sama, Presiden AS Donald mengumumkan bahawa pegawai wanita berusia 20 tahun, Sarah Beckstrom, telah meninggal dunia di hospital, manakala rakan setugasnya yang berusia 24 tahun masih kritikal.

– Bernama-Sputnik/Ria Novosti



Source link