Malaysia Oversight

Pentadbir tanah perlu pandangan jauh urus isu tanah kompleks

By TheSun in September 22, 2025 – Reading time 2 minute
Pentadbir tanah perlu pandangan jauh urus isu tanah kompleks


: Pegawai atau pentadbir tanah pada semua peringkat diseru agar menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih teliti, berstrategi dan berpandangan jauh memandangkan isu berkaitan tanah kini semakin kompleks.

Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Johari Abdul Ghani (gambar) berkata pengurusan tanah di Malaysia memerlukan satu pendekatan baharu yang berorientasikan masa depan dengan penekanan kepada kerjasama antara Persekutuan dengan negeri.

Beliau menegaskan tanah sebagai aset negara perlu diurus secara strategik, cekap dan inklusif untuk memastikan pembangunan mampan.

“Kita sebagai kakitangan yang terlibat dalam soal tanah ini, kalau dulu kita boleh mengambil mudah soal ini, tetapi hari ini negara telah bergerak ke hadapan,“ katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Tanah ke-9.

Johari memberikan contoh isu tanah Kampung Baru yang sebelum ini tidak dipertikaikan tetapi kini menjadi pertikaian sangat besar.

Beliau merujuk kepada pembangunan semula flat-flat PKNS di Kampung Sungai Baru yang menimbulkan konflik berpanjangan.

Apabila tiada persetujuan tetap, perkara itu mengakibatkan pemaju sukar menjalankan tugas dan wujud sentimen politik sehingga memerlukan penguat kuasa seperti polis dan FRU campur tangan.

Johari menegaskan semua pihak termasuk pemaju, ahli politik dan jabatan perlu mematuhi definisi serta dasar rasmi berkaitan dengan tanah.

“Apabila pendapat ini telah berpecah kepada dua, dan masuk pula orang politik dalam isu ini dan masuk pula pemaju-pemaju yang mengambil kesempatan kerana tidak ada definisi yang betul antara tanah Melayu, tanah biasa, pegangan bebas, dan pegangan pajak.”

Beliau menekankan naratif pembangunan mestilah datang daripada kerajaan bukan daripada pemaju atau ahli politik.

Johari turut menegaskan hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri perlu diperkukuh dalam pengurusan tanah bagi mengelak pertindihan dasar dan kelewatan pelaksanaan projek.

“Banyak isu dan dasar yang dikendalikan oleh negeri kemungkinan besar tidak sesuai lagi dengan kerajaan Persekutuan.”

Beliau mengingatkan bahawa masalah yang tidak disebut hari ini mungkin menjadi isu besar pada masa depan yang perlu diberi perhatian serius. – Bernama



Source link