Malaysia Oversight

Pensijilan halal luar negara termasuk AS, tertakluk sijil halal M’sia

By MkiniBM in October 31, 2025 – Reading time 2 minute
Pensijilan halal luar negara termasuk AS, tertakluk sijil halal M'sia


Mana-mana badan pensijilan halal luar negara termasuk dari Amerika Syarikat (AS), tertakluk sepenuhnya kepada prosedur keselamatan, aspek syariah, audit, kebersihan dan standard Sistem Pensijilan Halal Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata badan pensijilan halal luar negara yang ingin mengekalkan status pengiktirafan oleh Jabatan Kemajuan Malaysia (Jakim), mesti mematuhi sepenuhnya semua keperluan ditetapkan oleh Malaysia tanpa sebarang pengecualian.

Mohd Na’im berkata Perkara 2.5 dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS), hanya memperuntukkan penggunaan logo halal daripada badan pensijilan yang diiktiraf Jakim bagi tujuan pentadbiran dan kelancaran proses kelulusan, namun semua proses pengauditan, pemantauan dan pengesahan akhir sepenuhnya di bawah kawalan jabatan itu.

“Perkara 2.6 iaitu bagi abatoir (loji sembelihan) yang menghasilkan produk daging dan ayam untuk dieksport ke Malaysia, kelulusan halal hanya diberikan selepas melalui pengauditan mengikut Malaysian Standard dan The Malaysian Protocol for Halal Meat & Poultry Production.

f99085dfd52125317472940cf120f678

“Pengauditan tersebut mesti dilaksanakan dengan kehadiran sekurang-kurangnya dua pegawai syariah daripada badan pensijilan halal yang diiktiraf, dan laporan audit itu pula akan diperakukan oleh jawatankuasa yang dilantik Jakim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Malaysia melalui Jakim tidak sesekali berkompromi terhadap Standard Halal Malaysia dalam memuktamadkan rundingan itu dan pengiktirafan terhadap sijil halal dari AS tidak bermaksud ada kelonggaran bagi standard halal Malaysia.

“Sebaliknya, ia hanya mempercepatkan urusan pentadbiran bagi memperkukuh hubungan perdagangan dua hala. Semua produk import tetap tertakluk kepada audit Jakim, pemantauan berkala, serta peruntukan Akta Perihal Dagangan 2011, bagi menjamin integriti dan ketelusan sistem halal negara,” katanya.

Beliau berkata dakwaan kononnya Malaysia berkompromi terhadap standard halal negara bagi perjanjian itu adalah tidak benar dan boleh menjejaskan reputasi serta integriti Sistem Pensijilan Halal Malaysia yang telah diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

e519da14d4f5e4ccbd3180520f5b3c17

Mohd Na’im berkata Jakim terus memastikan standard pensijilan halal Malaysia kekal utuh dan pengiktirafan kepada badan pensijilan luar negara hanya diberikan selepas melalui proses audit menyeluruh berdasarkan pematuhan Standard Halal Malaysia.

“Segala perjanjian antarabangsa yang ditandatangani Malaysia tertakluk kepada pemakaian peraturan sedia ada di dalam negara. Sebarang penambahbaikan hanyalah bagi mempercepatkan proses pentadbiran, tanpa menjejaskan prinsip dan ketegasan standard halal Malaysia.

“Selaras dengan prinsip dualist system, komitmen Malaysia di bawah perjanjian antarabangsa hanya berkuat kuasa setelah diterjemahkan ke dalam undang-undang domestik, dan pendekatan ini memastikan kelancaran urusan perdagangan tanpa mengorbankan prinsip syariah dan piawaian halal negara,” katanya.

Bernama



Source link