Keputusan kerajaan untuk mengubah haluan dengan memberi subsidi RON95 kepada semua rakyat Malaysia – dan pada harga enam sen lebih rendah seliter – berbanding rancangan asal untuk mengketepikan 15 peratus kumpulan pendapatan tertinggi telah menjejaskan unjuran penjimatan.
Sehingga Ogos, kerajaan mengekalkan anggaran penjimatan daripada subsidi RON95 bersasar sehingga RM8 bilion.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata semalam bahawa unjuran penjimatan baharu di bawah pelan Budi95 adalah antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, bergantung kepada harga minyak mentah.
Anggaran itu dibuat berdasarkan dagangan minyak mentah sekitar AS$75 (RM315) setong. Ini hampir sama dengan anggaran ketika kerajaan mula merangka sasaran asal RM8 bilion dalam Belanjawan 2025.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, ketika mengumumkan skim subsidi baharu semalam, mempertahankan perubahan itu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan semua rakyat Malaysia.
Di bawah skim ini, semua rakyat Malaysia boleh membeli RON95 pada harga subsidi sehingga 300 liter sebulan. Pengecualian diberikan kepada pemandu e-hailing yang boleh memohon had lebih tinggi.
Untuk mendapatkan subsidi, pengguna kenderaan perlu menggunakan MyKad di pam atau aplikasi e-dompet yang disokong dan telah disahkan dengan MyKad.
Pelaksanaan penuh pelan ini bermula pada 30 September, dengan penerima Sumbangan Tunai Rahmah mendapat akses awal pada 28 September.
Warga asing yang memandu kenderaan berdaftar tempatan pula perlu membayar harga penuh RON95, yang dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
Kenderaan berdaftar asing masih terhad kepada penggunaan RON97.