Malaysia Oversight

‘Penjilat presiden’ hina saya sebagai pengemis QR

By MkiniBM in November 4, 2025 – Reading time 2 minute
‘Penjilat presiden’ hina saya sebagai pengemis QR


Sebaik sahaja dibebaskan daripada pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong, Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin meluahkan perasaan betapa dirinya dihina oleh seorang pemimpin parti itu.

Dia yang lebih dikenali dengan nama Chegu Bard berkata, dalam mendepani kes-kes di mahkamah, Bersatu juga tidak memberikan bantuan malah ada pemimpin parti itu menghinanya sebagai ‘pengemis QR’.

“Ya, saya tak kaya, namun semangat saya tak pernah patah. Saya dijamin dan terus berlawan dengan sumbangan orang ramai.

“Parti tidak membantu tapi janganlah sampai menghina. Saya dihina oleh seorang pemimpin parti penjilat presiden sebagai pengemis QR,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

“Pemimpin bangsat ini banyak aduan disiplin ke atasnya namun dikatakan dilindungi sebab dia kaya. Baru ini bawa tunai ratus ribu ringgit dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Bersatu.

“Maka saya syak kerana itu (dia) terus dilindungi. Saya hanya ada Allah dan rakyat dan saya akan terus lawan,” dakwanya lagi.

Bagaimanapun Badrul Hisham tidak mendedahkan identiti pemimpin Bersatu yang dimaksudkan dalam dakwaannya itu.

Terdahulu, media melaporkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Badrul Hisham tanpa perlu membela diri atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong pada tahun lalu.

Hakim Norma Ismail membuat keputusan itu selepas eneliti keterangan dan hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, dan mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Berhubung keputusan itu, Badrul Hisham yang diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata dia ternyata tidak memfitnah Yang di-Pertuan Agong dan sebaliknya sentiasa mendaulatkan Raja-raja Melayu.

“Selama lebih setahun saya hadapi kes ini. Terima kasih kepada hakim yang berani membuat keputusan.

“Terima kasih atas doa dan sokongan rakyat. Saya masih ada beberapa kes lagi perlu didepani. Insya-Allah saya akan terus berjuang. 

“Regim menyalah guna kuasa bagi melakukan intimidasi politik,” dakwanya lagi.



Source link