Pengurusan Suria KLCC terus dikecam berhubung insiden membabitkan pegawai keselamatannya dengan penyokong pro-Palestin, apabila seorang aktivis menyifatkan penjelasan pihak pengurusan sebagai “separuh masak”.
Menerusi hantaran di Facebook, Wan Fatin Suryanie Wan Ahmad mengecam penjelasan Suria KLCC yang mendakwa pengawal keselamatannya hanya bertindak mengikut prosedur keselamatan yang melarang kayu dibawa masuk ke pusat beli belah itu.
Dia menegaskan penjelasan itu “tidak tepat dan mengelirukan” kerana pegawai keselamatan yang disifatkannya sebagai “berlagak samseng, tidak profesional dan bersikap diskriminasi” turut menyasarkan individu yang membawa bahan lain berkaitan solidariti terhadap Palestin.
Wan Fatin menjelaskan peserta himpunan yang membantah kunjungan Presiden AS Donald Trump ke Malaysia ketika itu hanya mahu masuk ke dalam pusat beli-belah untuk membersihkan diri, minum dan menunaikan solat – bukannya untuk mengadakan demonstrasi.
“Kami bawa prop, patung bayi, plakad, mafla (keffiyeh), periuk, dan bendera Palestin yang digulung.
“Tetapi di pintu masuk, pengawal berpakaian hitam yang berlagak samseng asyik tukar syarat: mula-mula tak benarkan bawa patung, kemudian plakad, kemudian mafla, dan akhirnya mengganggu kawan saya kerana bendera yang digulung,” katanya.

Wan Fatin turut menceritakan bahawa bekas Ahli Parlimen PKR, Tian Chua yang menyertai bantahan tersebut telah campur tangan dengan meminta penjelasan daripada pengawal mengenai apa sebenarnya yang dilarang. Namun, pengawal itu hanya menunjuk kepada mafla yang dipakai Tian Chua.
“(Tian Chua) menegur mereka bahawa adalah tidak sah melarang barangan tersebut, tetapi pengawal semakin melampau, menyerbu kami dan bahkan tidak menghormati beliau.
“Ada yang suruh kami serahkan bendera lalu masuk. Kami akur, tapi berlaku tolak-menolak hingga meninggalkan trauma kepada kami,” katanya lagi.
Corak intimidasi
Wan Fatin menambah, sebuah keluarga lain turut “dihalau secara kasar” oleh pengawal, malah anak kecil mereka “dipegang secara agresif” sebelum Tian Chua membantu mereka masuk.
Katanya, semua kejadian ini membuktikan masalah dengan pegawai keselamatan Suria KLCC adalah sebahagian daripada “corak intimidasi” yang berulang.
Dia mendakwa pihak Suria KLCC mempunyai masalah dengan sebarang simbol atau barangan yang membawa mesej keadilan dan kemanusiaan terhadap isu pembunuhan beramai-ramai di Palestin.
“Layanan KLCC terhadap perkara ini, dan terhadap rakyat Malaysia yang berhimpun secara aman, mendedahkan bias dan kepincangan moral syarikat itu,” katanya.
Terdahulu, Tian Chua memberitahu Malaysiakini bahawa pegawai keselamatan Suria KLCC bertindak mengganggu peserta himpunan yang mahu masuk selepas selesai perhimpunan.
Berikutan insiden itu yang mencetuskan bantahan meluas – termasuk Tian Chua yang akhirnya diusir secara kasar oleh beberapa pengawal keselamatan – pihak pengurusan Suria KLCC mempertahankan tindakan pegawai keselamatan mereka.
Namun kenyataan tersebut tidak diterima baik oleh gerakan pro-Palestin Boycott, Divestment, and Sanctions (BDS) Malaysia.
BDS menegaskan alasan Suria KLCC tidak munasabah kerana pelanggan lain yang memakai mafla atau membawa poster pro-Palestin juga dihalang daripada masuk ke dalam premis.