Sungguh ironi, skim Rakan KKM Kementerian Kesihatan (KKM) akan dilancarkan di Hotel Cyberjaya pada Disember — bulan yang sama ketika dunia menyambut Hari Perlindungan Kesihatan Sejagat Antarabangsa.
Skim ini berisiko menjejaskan prinsip akses sejagat. Daripada mempromosikan kesaksamaan, skim itu menawarkan tingkat penjagaan “ekonomi premium” yang berbunyi seperti pemasaran kepada mereka yang mampu, bertentangan dengan janji Malaysia untuk mempertahankan
matlamat pembangunan lestari.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengingatkan kita bahawa sistem kesihatan mesti berfungsi untuk semua orang, tanpa mengira pendapatan. Namun, Rakan KKM nampaknya mencipta laluan selari dan unggul untuk pesakit yang lebih kaya, menggunakan pakar dan kemudahan awam sama, ketika rakyat biasa perlu menunggu berbulan-bulan.
Pelanggan dijanjikan penjagaan peribadi, pilihan pakar, privasi yang dipertingkatkan, dan janji temu yang lebih cepat. Tetapi bagi mereka yang tidak mampu membayar, adakah masa menunggu akan menjadi lebih lama?
KKM berkata Rakan KKM hanya meliputi prosedur elektif dan tidak akan menjejaskan kes-kes segera. Ia dicanang sebagai “menang-menang” untuk mengekalkan pakar di hospital awam dan meluaskan pilihan pesakit pada yuran yang lebih rendah daripada hospital swasta. Tetapi “pilihan” ini jelas tidak sejagat.
Tambahan pula, KKM belum menangani kebimbangan utama: potensi konflik kepentingan. Sesetengah pakar yang bakal mendapat faedah daripada Rakan KKM juga mengetuai unit kritikal di hospital awam. Jika mereka mengambil bahagian, bolehkah mereka benar-benar mengutamakan pesakit awam?
Dan walaupun skim itu dikatakan beroperasi selepas waktu pejabat, bolehkah pakar yang terlalu banyak bekerja mengekalkan kualiti penjagaan apabila kekurangan kakitangan sudah pun membebankan sistem?
Rakan KKM juga mewujudkan insentif songsang. Jika unit ini berfungsi dengan baik, pesakit tidak akan mencari alternatif yang cepat. Sebaliknya, skim itu berisiko memperdalam kelemahan sedia ada sambil menormalkan akses berasaskan kekayaan.
Terdapat banyak lagi aspek yang membimbangkan tentang skim ini, walaupun dari sedikit yang didedahkan dalam media, seperti yang ditunjukkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA). Dan seperti kata pepatah, the devil is in the details (kejahatan yang tersembunyi), perincian yang orang awam berhak untuk teliti.
Rakyat Malaysia layak mendapat ketelusan sepenuhnya. Sempena Hari Perlindungan Kesihatan Sejagat Antarabangsa yang semakin tiba, kami menggesa orang awam untuk mempertanggungjawabkan KKM dan menuntut sistem yang melayani semua orang secara sama rata.
Sertai Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam menyeru pembatalan Rakan KKM, pembekuan lima tahun ke atas hospital swasta baharu, lima peratus daripada produk domestik kasar untuk penjagaan kesihatan, dan peraturan yang lebih kukuh ke atas caj hospital swasta.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.






