Malaysia Oversight

Peniaga didenda kerana komen ‘sakai’ dan ‘tarzan’ terhadap timbalan speaker

By MkiniBM in July 31, 2025 – Reading time 2 minute
Peniaga didenda kerana komen 'sakai' dan 'tarzan' terhadap timbalan speaker


Seorang peniaga kecil-kecilan dari Seremban didenda RM1,300 oleh Mahkamah Majistret Tapah kerana membuat komen di Facebook yang menghina Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor dan masyarakat Orang Asli.

Ketua Polis Daerah Tapah, Johari Yahya mengesahkan denda dikenakan oleh majistret Anis Zainab Pawanteh terhadap M Toraise @ Turesh Kumar, 53 tahun, di bawah Seksyen 504 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut Johari, peguam Turesh, R Baramurali merayu agar hukuman diringankan, dengan menyatakan bahawa anak guamnya merupakan bapa tunggal yang menyara dua orang anak dan hanya berniaga kecil-kecilan dengan pendapatan kira-kira RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.

Peguam itu juga berhujah bahawa Turesh kurang pemahaman bahasa dan tidak tahu kesan dan akibat daripada tindakannya.

Bagaimanapun pegawai pendakwa raya meminta hukuman yang setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak mengulangi serta membuat komen-komen yang boleh memecah keamanan awam.

Bulan lalu, aktivis Orang Asli Chew Ho Beng menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap seorang pengguna Facebook yang menggelar Ramli sebagai “Sakai” dan menyamakan tahap mentalnya seperti “Tarzan”.

Chew ketika itu berkata komen tersebut dibuat di bawah hantaran Facebook Ketua Penerangan Pemuda , Navinn Rajendran, yang menyentuh pertikaian berkaitan satu kejohanan bola sepak Orang Asli yang diadakan di Tapah pada bulan Mei.

Susulan insiden itu Ramli menggesa semua pihak supaya berhati-hati ketika memberi komen agar tidak menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Dia turut menyatakan bahawa perkataan “sakai” sangat sensitif bagi masyarakat Orang Asli, khususnya suku kaum Semai, kerana perkataan itu bermaksud “hamba”.



Source link