Malaysia Oversight

Pengusaha stesen minyak didenda RM30,000 jual diesel melebihi had

By Utusan in September 29, 2025 – Reading time 2 minute
Pengusaha stesen minyak didenda RM30,000 jual diesel melebihi had


IPOH: Seorang pengusaha stesen minyak di Ayer Tawar, Manjung didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjual minyak diesel bersubsidi melebihi had ditetapkan kepada seorang pemandu lori, tahun lalu.

Tertuduh, Chew Jo Seng, 30, juga berdepan hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas lelaki terbabit membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga Pengarah Syarikat Caltex Ayer Tawar Service Station Sdn. Bhd. yang merupakan pemegang lesen barang kawalan didapati telah menjual bahan api diesel kepada M. Vadidel yang diisi dalam tangki tambahan kenderaan berjumlah 1,395.348 liter.

Tindakan tersebut telah melanggar arahan Pengawal bertarikh 17 Jun 2022 perenggan 2(c) yang menyatakan bahawa pemegang lesen runcit hanya dibenarkan menjual diesel kepada kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia tidak lebih daripada 250 liter dengan sekali transaksi sahaja sehari ke dalam tangki kenderaan asal.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Stesen Minyak Caltex, Jalan Sitiawan di Ayer Tawar dalam daerah Manjung pada pukul 9 pagi, 1 Februari 2024.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab, Mohamad Nazreen Zabarudin dan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Muhamad Hanif Abd. Azis manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, dalam rayuannya, Jo Seng memohon hukuman denda pada kadar minimum atas alasan perlu menanggung kedua ibu bapa dan bayaran bulanan rumah.

Mengikut fakta kes, lelaki terbabit diberkas susulan tindakan seorang pemandu lori berusia 46 tahun yang membuat pengisian bahan api ke dalam kenderaannya di stesen minyak tersebut secara berulang.

Difahamkan, bahan bakar itu telah diisi ke dalam tangki tambahan sebanyak 1,395.348 liter dengan bayaran RM3,000 menerusi lima kali pengisian secara berulang antara pukul 6.40 hingga 8.30 pagi pada 1 Februari 2024.

Tertuduh yang merupakan seorang daripada empat pengarah stesen minyak itu merupakan individu yang bertanggungjawab pada hari kejadian sekali gus didapati telah melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – UTUSAN





Source link