Penghala AI ROG Rapture GT-BE19000AI Dilancarkan Persis Facehugger Alien
Effi Saharudin
Tahun lalu ASUS Republic Of Gamers menawarkan penghala WiFi 7 pertama mereka, iaitu ASUS ROG Rapture GT-BE98 ke pasaran tempatan dengan sokongan kelajuan penghantaran data secara nirwayar setinggi 25Gbps. Minggu ini mereka akhirnya mula menjual ROG Rapture GT-BE19000AI yang merupakan model kemas kini dengan sokongan kecerdasan buatan (AI).

Dari segi rekaan, penghala ini masih lagi hadir dengan rekaan agresif ASUS ROG Rapture sebelum ini, dengan lapan antena dan logo ROG cuma ia kini berwarna putih. Sekilas pandang ia nampak seperti facehugger daripada filem Alien.
Ia tidak akan menyebabkan dada anda dirobek makhluk asing tetapi pastinya akan merobek dompet kerana harga jualannya di Amerika Syarikat ialah $900 (~RM 3807). Harga di Malaysia belum diumumkan tetapi pastinya di tahap sama dengan ASUS ROG Rapture GT-BE98 yang dijual pada harga RM3988 tahun lalu.

ROG Rapture GT-BE19000AI ditawarkan untuk golongan gamer yang memerlukan internet pantas, tanpa masa pendam dan konsisten sepanjang masa. Ini dilakukan menerusi sistem AI yang dikawal pemproses dengan CPU empat teras 2.6GHz , 4GB RAM, dan storan 32GB terbina. Ia mempunyai CPU, NPU, dan MCU (Micro Control Unit) terbina.
Menerusi ciri AI Power Saving Mode cip MCU digunakan apabila rangkaian internet tidak digunakan bagi menjimatkan penggunaan elektrik. ASUS mengatakan menerusi ciri ini penjimatan kuasa sehingga 46% boleh dicapai.

Jika anda masih lagi mahu menggunakan sambungan berwayar, penghala ini juga hadir dengan dua palam 10Gbps dan empat palam 2.5Gbps untuk sambungan internet dengan masa pendam rendah yang stabil.
Penghala ini turut mempunyai pelbagai ciri keselamatan seperti penyekat iklan, penyekat penjejak, alat cerapan rangkaian dan pengimbas RF. Ciri ini memberikan pengguna kawalan yang lebih baik ke atas rangkaian mereka, berpotensi melindungi daripada ancaman dan mengekalkan prestasi optimum semasa penggunaan puncak
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






