Bersatu Pahang menyifatkan tindakan menukar pengerusi PN bagi negeri itu adalah sangat tepat dan sesuai dengan masa.
Timbalan Ketua Bersatu Pahang Jasri Jamaludin berkata, keputusan dibuat pimpinan tertinggi PN yang bermesyuarat malam tadi sudah boleh dijangka dan perlu dihormati semua pihak.
“Saifuddin Abdullah (ahli Parlimen Indera Mahkota) bukan lagi pengerusi PN Pahang dan tempatnya diganti (timbalan presiden PAS) Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga ketua pembangkang bagi DUN Pahang.
“Saya sebagai Timbalan Ketua Bersatu Pahang menyambut baik keputusan dibuat Majlis Tertinggi PN.
“Dalam masa yang sama, saya mengucapkan tahniah kepada Tuan Ibrahim dan Bersatu Pahang akan memberi kerjasama erat bagi menghadapi PRU16 dalam misi ‘PN Teraju Pahang’,” katanya kepada Malaysiakini, lewat malam tadi.

Perubahan itu dimaklumkan Setiausaha Agung PN Mohamed Azmin Ali semalam.
Turut digugurkan adalah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli sebagai pengerusi PN negeri itu, dan digantikan dengan Shahidan Kassim.
Penyingkiran Saifuddin sudah boleh dijangka susulan desakannya agar Muhyiddin berundur sebagai presiden Bersatu, manakala Azmin digugurkan daripada jawatan setiausaha agung parti.
Saifuddin sebelum ini juga merupakan ketua Bersatu Pahang sebelum digantikan oleh Ahli Parlimen Rompin, Abdul Khalib Abdullah.
Jasri yang juga Adun Kuala Sentul berkata lagi, pemilihan dan pelantikan Tuan Ibrahim sebagai pengerusi PN Pahang yang baru akan memberi nilai tambah kepada mereka.
Ini kerana, katanya, Tuan Ibrahim adalah Timbalan Presiden PAS dan memiliki pengaruh yang kuat di Pahang.
“Insya-Allah PN Pahang akan terus bekerja keras dalam melaksanakan program yang kita rancang sehingga PRU16,” katanya.






