Malaysia Oversight

Pengetua sekolah letak jawatan susulan kes gangguan seksual

By MkiniBM in May 1, 2025 – Reading time 2 minute
Pengetua sekolah letak jawatan susulan kes gangguan seksual



Pengetua Sekolah Menengah Keat Hwa di Kedah meletakkan jawatan manakala naib pengetuanya pula berundur sementara menunggu siasatan dakwaan gangguan seksual melibatkan seorang guru di sekolah itu.

Polis berkata pihaknya menerima tujuh laporan terhadap guru tersebut, dengan enam daripadanya dibuat oleh bekas pelajar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Siti Noor Salawati semalam berkata, siasatan terhadap dua laporan telah selesai dan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Pada 19 April lalu, polis menahan guru tersebut. Pihak sekolah kemudian kemudian memecatnya serta-merta.

Dalam kenyataan malam tadi, lembaga Sekolah Menengah Keat Hwa mengumumkan yang pengetua sekolah, Chang Siew Hong telah berhenti atas faktor kesihatan, manakala naib pengetua Khor Chee Beng melepaskan jawatannya sementara siasatan berjalan.

Sebagai respons, pihak sekolah dan lembaga pengurusan menubuhkan satu pasukan tugas pemantauan yang diketuai oleh ahli lembaga kanan bagi memastikan pentadbiran sekolah dan pembelajaran pelajar tidak terjejas.

Selain itu, bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas dan adil, lembaga pengurusan akan menghantar laporan rasmi kepada Persatuan Lembaga-lembaga Pengurus Sekolah Kedah bagi mencadangkan penubuhan pasukan bebas untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap salah laku pentadbiran di sekolah tersebut.

“Pasukan ini seharusnya terdiri daripada ahli persatuan atau individu yang mempunyai kredibiliti awam. Ahli lembaga sekolah dan ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak akan terlibat,” menurut kenyataan itu.

1b28eadd78a1c504d935c389ced66ea6

Lembaga pengurusan juga memutuskan untuk membatalkan program kutipan dana sekolah yang telah dirancang, dan sebaliknya mengalihkan sumber serta tenaga kerja ke arah reformasi dan penambahbaikan sekolah, dengan tumpuan penuh untuk melindungi hak pembelajaran pelajar serta memastikan keselamatan di sekolah.

Lembaga pengurusan turut meluahkan rasa dukacita yang mendalam terhadap insiden gangguan seksual tersebut dan yakin undang-undang akan memberikan keadilan yang sewajarnya.

Pada masa sama mereka merayu kepada orang ramai dan semua pihak agar memberikan masa dan ruang secukupnya kepada pihak sekolah untuk melaksanakan pembaharuan dan langkah-langkah keselamatan di sekolah.

Kes serupa di Johor

Insiden di Alor Setar ini berlaku selepas dakwaan gangguan seksual di sekolah menengah persendirian Cina di Johor bulan lalu.

Sejumlah bekas pelajar dan pelajar perempuan di Sekolah Menengah Foon Yew di Kulai mendakwa seorang pelajar telah mengubah suai gambar mereka tanpa kebenaran secara tidak senonoh.

Susulan itu, muncul pula dakwaan lain mengenai salah laku seksual serta aduan tentang cara pihak sekolah mengendalikan kes-kes sebegitu, melibatkan kampus induk di Johor Bahru dan juga cawangan di Kulai.

Pengetua cawangan sekolah itu telah meletakkan jawatan.



Source link