Malaysia Oversight

Pengerusi Tamiya, Shunsaku Tamiya Meninggal Dunia

By Amanz in July 23, 2025 – Reading time 2 minute
Pengerusi Tamiya, Shunsaku Tamiya Meninggal Dunia


Lain-lain

Pengerusi Tamiya, Shunsaku Tamiya Meninggal Dunia

July 23, 2025

Effi Saharudin

Pengerusi syarikat Tamiya, Shunsaku Tamiya meninggal dunia pada 18 Julai yang lalu dengan pengumuman kematian beliau hanya diumumkan oleh keluarga semalam. Upacara pengebumian telahpun dilakukan dengan keluarga melakukannya secara peribadi. Sebab kematian mendiang pada usia 90 tahun tidak pula didedahkan keluarga.

Shunsaku Tamiya RIP

Shunsaku Tamiya ialah anak kepada pengasas syarikat Yoshio Tamiya. Beliau dilahirkan pada tahun 1934 dan menyertai syarikat keluarga pada tahu 1958. Syarikat Tamiya Shoji & Co ditubuhkan pada tahun 1946 dengan ia merupakan kilang papan yang membekalkan kayu. Ia kemudiannya mula menghasilkan model kayu untuk kanak-kanak Jepun selepas tamatnya Perang Dunia Pertama.

Jualan model kayu mula susut dalam dekad 1950an. Ini memaksa Tamiya untuk menghasilkan model plastik yang kini sinonim dengan jenama mereka pada tahun 1959. Model plastik pertama yang dikeluarkan ialah kapal perang Yamato dengan Shunsaku Tamiya meminta adik beliau Masao Tamiya untuk menghasilkan logo dua bintang yang digunakan sehingga sekarang. Bintang merah melambangkan kreativiti dan semangat sementara bintang biru melambangkan keikhlasan dan keremajaan.

Tamiya Logo

Shunsaku Tamiya terlibat secara langsung dalam penghasilan model plastik awal yang dikeluarkan syarikat. Sebagai contoh untuk menghasilkan model kereta kebal pertama, Tamiya akan melawat sendiri muzium untuk melihat sendiri setiap perincian pada senjata sebenar. Kerana gambar dan lakaran tidak boleh diambil dalam muzium pada dekad 1960an, beliau akan segera menghasilkan lakaran terperinci sejurus selepas keluar daripada muzium.

Sumbangan terbesar beliau ialah mempopularkan hobi kereta mini pacuan empat roda dan kereta kawalan jauh (RC). Jika anda seperti saya yang membesar dalam dekad 80an dan 90an, kereta mini ini dikenali dengan nama panggilan “kereta Tamiya” walaupun terdapat syarikat lain yang mengeluarkannya seperti Auldey dan Takara. Hujung minggu dipenuhi dengan aktiviti berlumba dengan peminat-peminat kereta Tamiya lain. Bagi individu berusia 40an dan 50an sekarang, kereta Tamiya mungkin ialah EV pertama dimiliki mereka.

Tamiya 4WD Mini Dash 1 Emperor

Saya boleh katakan kereta mini dan model plastik Tamiya bertanggungjawab membuatkan saya berminat dengan kejuruteraan, elektronik dan senjata ketenteraan yang sehingga ke hari ini menjadi topik penulisan saya di Amanz. Bahkan dalam projek Kemahiran Hidup semasa di tingkatan 3, saya gabungkan model Grumman F-14A Tomcat Tamiya (skala 1:72) dengan litar lampu LED yang perlu disiapkan setiap pelajar.

Kereta Tamiya pula mengajar saya mengenai jenis tayar, proses mengimbangi berat model dan motor yang sesuai mengikut litar. Motor paling berkuasa (dengan jalur merah) dan komponen paling mahal tidak semestinya menjanjikan kemenangan. Terima kasih Shunsaku Tamiya kerana mainan yang anda hasilkan membentuk generasi pembina model plastik yang celik teknologi kejuruteraan.

Komen

Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.



Source link