Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang baru dilantik, Abdul Kadir Din telah melepaskan jawatannya dalam syarikat swasta berkaitan pengurusan air dan sisa sebelum memulakan tugas barunya, menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Makluman itu selepas ahli parlimen pembangkang membangkitkan kemungkinan wujud konflik kepentingan selepas Kadir dilantik mengetuai Span.
“Salah satu syarat utama pelantikan ialah calon mesti meletakkan jawatan yang boleh menimbulkan konflik kepentingan.
“Berdasarkan semakan kami, beliau telah mematuhi sepenuhnya dan salinan surat peletakan jawatannya telah diserahkan kepada kementerian,” menurut kementerian itu seperti dipetik Free Malaysia Today.
Semalam, Ahli Parlimen Bersatu Wan Saiful Wan Jan menyuarakan kebimbangan berhubung risiko konflik kepentingan dalam pelantikan Kadir di Span.
Difahamkan Kadir merupakan pengarah urusan syarikat pengurusan sisa, Sacra Sol Sdn Bhd. Dia juga dikatakan menjadi penasihat kepada Ranhill Holdings Bhd, yang berkait rapat dengan Ranhill SAJ Sdn Bhd – pengendali perkhidmatan air di Johor.
“Ini adalah prinsip etika asas bagi memastikan tadbir urus yang baik serta mengelakkan persekongkolan, rasuah dan kronisme.
“Kerajaan mesti segera menjelaskan sama ada Kadir telah melepaskan semua jawatan yang bertindih sebelum memulakan tugas sebagai pengerusi Span,” kata Wan Saiful.
Mengulas lanjut, kementerian itu berkata Kadir telah meletakkan jawatan sebagai penasihat kepada Ranhill Holdings “beberapa tahun lalu”.
Ia turut menegaskan bahawa setiap anggota suruhanjaya, termasuk pengerusi, tertakluk kepada kod etika dan dasar konflik kepentingan.
“Mereka dikehendaki mengisytiharkan sebarang kemungkinan konflik dan mesti menarik diri daripada membuat keputusan berkaitan apabila perlu,” katanya.
Kementerian itu juga menjelaskan peranan Kadir dalam Span bersifat bukan eksekutif, bermakna dia tiada kuasa untuk membuat keputusan eksekutif secara sepihak.
Kata kementerian itu lagi, semua keputusan penting Span dibuat secara kolektif bersama ahli suruhanjaya lain dan CEO, manakala cadangan berkaitan dasar diteliti oleh kementerian.