Pengecas 60W Untuk iPhone 17 dan iPhone 17 Pro Dijual Pada Harga RM158
Effi Saharudin
Adalah menakjubkan Apple iPhone 17 Pro, iPhone 17 Pro Max dan iPhone 17 menyokong pengecasan sehingga 60W. Ini membolehkan bateri ketiga-tiga peranti dicas sehingga 50% dalam masa 20 minit sahaja. Tetapi untuk menikmati pengecasan pantas ini, pengecas baharu perlu dibeli dan ia dijual pada harga RM169 sebuah.

Pengecas 40W Dynamic Power Adapter with 60W Max ini akan membolehkan pengecasan mencapai kuasa puncak 60W. Walaupun berkuasa tinggi berbanding pengecas standard iPhone, ia mempunyai rekaan yang kompak. Malahan ia lebih kecil berbanding pengecas 30W yang Apple berikan dengan pembelian MacBook Air.
Di Malaysia 40W Dynamic Power Adapter with 60W Max dijual pada harga RM169 sebuah hanya untuk kepala pengecas. Turut dilancarkan ialah pengecas Qi2 25W-certified MagSafe Charger dengan kabel meter pada harga RM219 atau 2 meter pada harga RM249. Pada waktu ini hanya 40W Dynamic Power Adapter with 60W Max sahaja belum lagi disenaraikan di laman rasmi Apple Malaysia.
Jika anda sudahpun mempunyai pengecas yang menyokong piawaian PPS dan AVS (Adjustable Voltage Supply) sehingga 60W, anda tidak perlu membeli pengecas baharu. Pengecas 70W, 96W dan 140W yang dijual Apple untuk MacBook sebelum ini juga serasi digunakan pada iPhone 17, 17 Pro dan 17 Pro Max untuk pengecasan sehingga 60W.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.