Pengasingan kuasa di antara peguam negara dan pendakwa raya masih tidak akan menjamin kebebasan sebenar tanpa perubahan dalam budaya politik dan penghapusan pengaruh tersembunyi, kata Sangeet Kaur Deo.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Biro Undang-undang Wanita DAP itu berkata, walaupun pengumuman mengenai perkara itu oleh kerajaan dialu-alukan, beberapa langkah perlindungan perlu diperbaiki.
“Pengumuman kerajaan baru-baru ini bahawa mereka bersetuju pada dasarnya untuk memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya adalah satu langkah yang dialu-alukan.
“Diharap cadangan ini dapat menyelesaikan ketegangan berpanjangan dalam sistem perundangan kita apabila pegawai yang sama telah ditugaskan untuk menasihati kerajaan dan kuasa pendakwaan bagi pihak kerajaan.
“Di sebalik struktur dan undang-undang, cabaran yang lebih mendalam terletak pada budaya politik. Malah peruntukan yang digubal dengan paling teliti akan goyah jika amalan pengaruh atau campur tangan tidak rasmi dibiarkan berterusan,” katanya.
Justeru peguam kanan itu mencadangkan supaya pendakwa raya dilantik melalui proses yang telus – dengan yang paling ideal melibatkan parlimen – atau badan bebas, dan bukannya menyerahkan perkara itu kepada budi bicara “segelintir orang terpilih.”
Sangeet berkata tempoh yang tetap juga mesti dikuatkuasakan untuk melindungi pejabat awam daripada tekanan atau dorongan halus, selain sebarang arahan daripada peguam negara atau kerajaan kepada pendakwa raya harus didedahkan kepada umum.
“Cadangan pemisahan adalah peluang untuk memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan Malaysia, tetapi untuk membolehkan perubahan ini benar-benar bermakna, peguam negara dan pendakwa raya mesti dilindungi dengan tegas daripada campur tangan politik.
“Sebarang langkah yang kurang daripada itu hanya akan memunculkan semula masalah lama yang sama di bawah tajuk baru.
“Inti utama isu ini ialah pengaruh yang tidak wajar. Kecuali ia ditangani secara langsung, pemisahan kuasa yang dicadangkan ini berisiko menjadi hanya simbolik.
“Perubahan yang dicadangkan ini mesti melangkaui revolusi struktur. Ia mesti membawa kesan sebenar,” tambah Sangeet.
Juruckap Kerajaan, Fahmi Fadzil, semalam mengumumkan bahawa kabinet bersetuju untuk melaksanakan pengasingkan kuasa peguam negara dan pendakwa raya melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan itu dibuat selepas kajian mengenainya dibuat selama dua tahun dan semakan beberapa model.
Sementara itu Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, turut memberikan sokongan terhadap langkah kerajaan itu dan menganggapnya sebagai satu daripada langkah memenuhi janji reformasi undang-undang yang diikrarkan sebelum ini.
Pun begitu, Hassan berkata, untuk membolehkan pemisahan kuasa itu dilaksanakan, masih ada tugas yang perlu dilakukan oleh ahli parlimen bagi meminda perlembagaan.
“Dalam hal ini saya berharap semua pihak sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang akan menyokong usaha menjayakan reformasi institusi penting negara kita dengan meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu nanti,” katanya.