Malaysia Oversight

Penganjur diingatkan mohon kelulusan – Adam Adli

By Utusan in November 6, 2025 – Reading time 3 minute
Penganjur diingatkan mohon kelulusan - Adam Adli


KUALA LUMPUR: Penganjur acara sukan termasuk program santai seperti Fun Run diingatkan supaya mendapatkan kelulusan rasmi daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) sebelum menganjurkan sebarang acara berikutan masih terdapat penganjuran yang dilakukan tanpa kebenaran sah.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli berkata, beliau sedia maklum bahawa acara larian seperti Fun Run dan sebagainya kini semakin banyak dianjurkan, namun sebahagiannya tidak mendapat kelulusan rasmi.

“Atas sebab itu, pihak kami telah menghubungi beberapa penganjur acara, terutamanya mereka yang sering menganjurkan program larian untuk mengingatkan tentang kepentingan mendapatkan kebenaran penganjuran sebelum acara dijalankan.

“Kita sudah pun menekankan perkara ini kepada penganjur utama agar mereka memastikan setiap acara mendapat kelulusan yang sewajarnya. Kebiasaannya, peringatan ini diberikan terutama kepada acara yang bersifat pertandingan atau melibatkan jarak jauh (long distance event),” katanya selepas merasmikan KL Run Fest Expo 2025 di Kuala Lumpur Sports City, semalam.

Beliau berkata, bagi acara santai seperti Fun Run, syarat mendapatkan kebenaran rasmi mungkin tidak seketat pertandingan rasmi, malah pihaknya turut menggalakkannya kerana ia menunjukkan pematuhan kepada peraturan dan meningkatkan profesionalisme penganjur.

“Saya tidak fikir isu ini timbul kerana mereka ‘tidak tahu’ tentang keperluan kelulusan, tetapi lebih kepada usaha kita untuk mencari keseimbangan antara menggalakkan penganjuran acara dengan memastikan pematuhan undang-undang. Kita mahu kedua-duanya berjalan seiring, bukan sampai acara tidak dapat dianjurkan kerana prosedur terlalu rumit.

“Sebenarnya, proses mendapatkan kelulusan penganjuran kini sudah banyak dipermudahkan, termasuk urusan melalui PJS dan sebagainya. Jadi, tidak sukar untuk mendapatkan kebenaran tersebut sekiranya penganjur memberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meluahkan rasa sedih dan ralat terhadap tindakan penganjur Warzone World Championship (WWC) yang didakwa menggunakan peserta kanak-kanak bagi mengemukakan permohonan maaf kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung penganjuran kejohanan tersebut.

Hannah dalam satu hantaran di media sosialnya berkata, tindakan tersebut tidak wajar dan menimbulkan persoalan tentang kebertanggungjawaban pihak penganjur, memandangkan acara tersebut dijalankan tanpa kelulusan rasmi daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

Mengulas perkara itu, Adam berkata, difahamkan pihak penganjur sudah pun menulis permohonan rasmi kepada kementerian, tetapi masih belum ada permohonan untuk mendapatkan kebenaran daripada negeri bagi status acara antarabangsa.

“Isu yang kita timbulkan bukan semata-mata mengenai kelulusan penganjuran, tetapi juga tentang penglibatan kanak-kanak dan nilai yang ditonjolkan dalam acara tersebut.

“Bagaimanapun, kita yakin perkara ini boleh diselesaikan dengan baik. Acara boleh diteruskan sekiranya semua syarat yang ditetapkan dipatuhi, termasuk permohonan rasmi bagi kelulusan penganjuran dan kebenaran menteri untuk acara bertaraf antarabangsa,” katanya.

Tambah beliau, oleh sebab itulah pihaknya menekankan kepada setiap penganjur untuk memberi tumpuan terhadap aspek kelulusan rasmi, terutamanya bagi acara yang melibatkan penyertaan besar dan bersifat pertandingan.-UTUSAN





Source link