Seorang bapa kepada empat anak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan, hari ini, atas kesalahan mencuri buku perpustakaan dan menyimpan harta curi.
Majisteret Rais Imran Hamid menjatuhkan hukuman dua bulan penjara bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh Mohd Farahimee Ibrahim, 51, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan Mohd Farahimee didakwa mencuri 15 buah buku milik Perpustakaan Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) di Kota Bharu, pada jam 11.54 pagi dalam kejadian 13 Okt lalu.
Bagi pertuduhan kedua tertuduh yang juga seorang penganggur didakwa dengan curang telah menyimpan harta curi iaitu 24 buah buku milik Perpustakaan Nur Az-Zahra pada 14 Okt lalu.
Hukuman akan berjalan serentak iaitu penjara selama dua bulan bermula tarikh tertuduh ditangkap.
Menurut fakta kes, buku-buku milik kedua-dua perpustakaan berkenaan disimpan di rumah ibunya di Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas dakwaan mencuri dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan atas dakwaan menyimpan harta curi.
Sebanyak 39 buah buku dirampas pihak polis dipercayai dicuri dan disimpan tertuduh kebanyakannya buku-buku dalam bidang sejarah, agama dan politik.
Antaranya berjudul Sejarah Tanah Melayu, Insaf Diri Menjelang Usia 40 tahun, Sabda Hikmat Warisan Nabi Muhammad, Pengantar Undang-undang Jenayah Islam, Pembangunan Berteraskan Islam dan DAP Melayu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nik Nasrun Nazmi Nik Mohamad.
Sementara itu Nik Nasrun Nazmi memohon bon kelakuan baik atau perintah kehadiran wajib atas faktor kesihatan.
Bagaimanapun permohonan itu dibantah pihak pendakwaan sekali gus ditolak mahkamah.
Rais Imran turut menegur tertuduh bahawa harta wakaf dan harta awam tidak sepatutnya dicuri sama sekali.
Terdahulu Malaysiakini pada 14 Okt lalu melaporkan kegiatan seorang individu mencuri buku perpustakaan terbongkar selepas ditahan pihak polis.
Perbuatan suspek dikesan selepas aktivitinya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) selain pihak perpustakaan mendapati buku-buku yang dicuri dijual dalam talian melalui media sosial.






