Malaysia Oversight

Pengalaman sempena 60 tahun Singapura merdeka

By MkiniBM in August 10, 2025 – Reading time 6 minute
Pengalaman sempena 60 tahun Singapura merdeka


KOLUM | Pada 9 0gos 2025, Singapura menyambut Hari Kebangsaannya yang ke-60. Republik Singapura ditubuhkan pada 5 Ogos 1965 setelah tidak sampai dua tahun menjadi salah sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia. Tetapi Singapura bukannya merdeka daripada Malaysia. Ini kerana Singapura bergabung dalam Malaysia. Negara ini tidak menjajah Singapura. Ia hanya berpisah daripada Malaysia.

Hari kemerdekaan Singapura berlaku pada 31 Ogos 1965 apabila ia bebas daripada British. Ia kemudian bergabung dengan Tanah Melayu pada 16 September 1963 atas desakan British dan galakan Amerika Syarikat (AS).

Tahun berikutnya, 1966, pertama kali saya pergi ke Singapura. Ketika itu saya berada di darjah satu dan tinggal di Kuala Lumpur. Saya pergi dengan bapa saya. Kami menaiki bas dari Johor Bahru melalui Tambak Johor dan turun di Woodlands untuk pergi ke rumah bapa saudara saya. Walaupun Singapura sudah berpisah daripada Malaysia tetapi belum ada imigresen dan kastam di sempadan. Kami terus keluar dan masuk Singapura tanpa sekatan.

Hanya kemudian setelah digazetkan, pusat pemeriksaan sempadan diwujudkan di Woodlands dan stesen kereta api Tanjong Pagar. Rakyat Malaysia dan Singapura bebas keluar masuk dan hanya perlu tunjukkan kad pengenalan. Pada tahun 1967, barulah diperlukan pasport. Tetapi rakyat Malaysia boleh menggunakan pasport terhad warna biru khas untuk masuk ke Singapura.

Bapa saudara saya menyewa di sebuah unit rumah papan panjang kayu di Woodlands. Di situ juga terletak pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Mereka belum pindah ke Lumut. Singapura pula belum tubuhkan angkatan tentera mereka.

Guna mata wang sama

Bapa saudara saya itu kemudian pindah ke Johor Bahru. Ada seorang lagi bapa saudara saya yang bekerja di Singapura memilih untuk menjadi warganegara sana. Apabila berlaku pemisahan, warganegara Malaysia kelahiran Tanah Melayu yang sudah menetap di Singapura boleh menjadi warganegara di sana. Begitu jugalah warganegara Malaysia kelahiran Singapura yang menetap di Tanah Melayu boleh kekal sebagai warganegara Malaysia.

Terdapat ramai orang Melayu Singapura, sama ada kelahiran Tanah Melayu atau Singapura berhijrah ke Johor Bahru atau Kuala Lumpur termasuk penyanyi-penyanyi pop yeh yeh.

b2d5b038bf3f85a3abe534002395e724

Pada tahun 1966, Malaysia, Singapura dan Brunei menggunakan mata wang sama yang dikeluarkan oleh Lembaga Pesuruhjaya Matawang Malaya, Singapura dan Borneo British yang beribu pejabat di Fullerton Building, Singapura.

Wang kertas satu ringgit mempunyai gambar perahu layar Melayu. Di bahagian lain ada ilustrasi perahu nelayan Melayu mendarat di pantai. Di bahagian atas terdapat jata-jata negara Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Brunei dan Borneo Utara. Sebelum 1963, mata wang ini turut digunakan di Kepulauan Riau, Indonesia.

Pejabat Lembaga Pesuruhjaya Matawang itu mempunyai cawangan di Kuala Lumpur, Kuching, Bandar Seri Begawan dan Jesselton (Kota Kinabalu). Sebenarnya Bank Negara Malaya sudah ditubuhkan sejak tahun 1953. Pejabatnya terletak di Bangunan Persekutuan. Bagaimanapun ada perjanjian mata wang bersama untuk digunakan sampai tahun 1967 apabila Malaysia, Singapura dan Brunei mengeluarkan mata wang masing-masing.

Tetapi pada tahun 1970 ketika saya darjah lima, ketiga-tiga mata wang iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei masih boleh digunakan di ketiga-tiga negara itu dengan nilai yang sama. Di Johor, banyak orang menggunakan mata wang Singapura. Bapa saya yang bertugas di Labuan sering pulang membawa mata wang Brunei dan ia bebas digunakan. Pada masa itu Brunei belum lagi merdeka. Wang kertas ketiga-tiga negara itu dibuat oleh sebuah syarikat pencetak wang di England.

Pusat budaya

Pada tahun 1970, ketika saya tinggal di rumah datuk saya di Batu Pahat, pengaruh budaya Singapura masih kuat. Kebanyakan orang Johor mendengar siaran radio Singapura berbanding siaran radio Malaysia.

Mereka sudah biasa mendengar Radio Malaya di Singapura yang ditubuhkan pada tahun 1946. Pada tahun 1959, Radio Malaya di Singapura menjadi Radio Singapura.

Ibu saudara saya setiap hari membuka siaran bahasa Melayu Radio Singapura. Katanya Radio Singapura lebih bermutu dengan juru-juruhebahnya lebih berpengalaman. Lebih penting lagi ialah program-program hiburannya adalah lebih baik dengan seleksi lagu-lagunya juga pelbagai.

Maklumlah Singapura adalah pusat kebudayaan orang Melayu bagi seluruh Nusantara sejak tahun 1920-an. Penerbitan buku, majalah dan akhbar bahasa Melayu berpusat di Singapura. Sesiapa di Tanah Melayu yang hendak menjadi penulis, sasterawan dan wartawan wajar berhijah ke Singapura. Begitu juga mereka yang mahu menjadi pelakon, pembikin filem, seniman dan budayawan juga wajar pergi ke Singapura.

P. Ramlee berhijrah dari Pulau Pinang ke Singapura untuk menjayakan kerjaya seninya. Begitu juga dengan keberadaan Studio Jalan Ampas, Merdeka Production Shaw Brothers dan Cathay Kris berada di Singapura. Filem-filem Melayu Singapura sudah dianggap khazanah klasik bagi orang Melayu Malaysia.

Fenomena muzik pop yeh yeh meletup di Singapura dan tersebar ke Tanah Melayu sepanjang tahun 1960-an. Radio Singapura merupakan medium yang mempopularkan muzik kegilaan remaja itu. Kumpulan-kumpulan kugiran bercambah di banyak kampung Melayu di Singapura. Antara yang terkenal ialah Jeffrydin dengan kumpulan The Siglap Five yang ditubuhkan oleh anak-anak kampung Jalan Siglap. Pada tahun 2000-an saya pernah melalui tapak kampung ini, kesemuanya sudah menjadi kawasan perumahan rumah pangsa.

Pengaruh budaya pop yeh-yeh sampai juga ke kampung saya, bukan saja mendengar lagunya tetapi juga menubuhkan kugiran. Istilah kugiran adalah kependekan Kumpulan Gitar Rancak. Kugiran hanya dianggotai oleh lima orang, pemain gitar utama atau lead, pemain gitar rhythm, pemain gitar bass, pemain dram dan seotang penyanyi. Ia mengikut model kumpulan The Beatles yang merupakan idola mereka.

fdd58d9c97c905aed6aa39caa2e0a932

Pertumbuhan kugiran-kugiran ini bukan semata-mata untuk hiburan tetapi ia mempunyai potensi untuk meraih pendapatan besar. Jika lagu-lagu ciptaan mereka meletup apabila syarikat piring hitam mengesan mereka, anak-anak muda bukan saja jadi selebriti tetapi meraih pendapatan.

Pengaruh pop yeh-yeh ini sampai ke kampung saya. Bapa saudara juga menubuhkan kugiran The Linaus Five, mengambil sempena nama kampung saya, Parit Linau Besar. Di kampung sebelah, Parit Linau Kechil juga mempunyai kugiran mereka. Tahap pencapaian mereka adalah menjadi penghibur kenduri kahwin.

Oleh kerana banyaknya kugiran di Singapura dan Malaysia, Radio Singapura memperkenalkan program Berita Kugiran di Sana Sini. Kumpulan-kumpulan di seluruh Singapura dan Malaysia menghantar berita mereka untuk disiarkan termasuk berita pembubaran The Linaus Five apabila bapa saudara itu berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja.

Siaran televisyen

Budaya hiburan Melayu Singapura bukan saja disebarkan oleh radio tetapi akhbar dan majalah. Saya membesar dengan majalah-majalah hiburan yang kebanyakannya diterbitkan di Singapura. Ibu dan bapa saudara saya membeli hampir kesemua majalah hiburan di pasaran. Pelbagai tajuk. Sebahagianya diterbitkan di Singapura. Saya bukanlah peminat hiburan tetapi oleh kerana tiada bahan bacaan lain, maka itulah yang saya tatap.

Perlu diingat bahawa majalah wanita pertama Melayu yang bernama Fesyen bertulisan jawi diterbitkan oleh Harmy Press di Singapura. Sasterawan Negara, Arenawati pernah bekerja di sini. Beliau kemudian bekerja dengan Royal Preds yang menerbitkan majalah bertajuk Hiburan, juga bertulisan jawi. Ia sebenarnya bukan majalah hiburan tetapi majalah hal ehwal semasa yang bersaing dengan Mastika terbitan Utusan Melayu yang ketika itu juga adalah majalah hak ehwal semasa, bukan majalah misteri atau seram.

b32ea9f7a6571ef78cca2da5cd6e99de

Royal Press kemudian berpindah ke Johor Bahru dan menukar namanya kepada Malaysia Press.

Seperti mana Radio Malaysia bergabung dengan Televisyen untuk menjadi RTM, maka Singapura tubuhkan RTS. Brunei juga tubuhkan RTB.

Pada tahun 1970-an orang Johor lebih suka menonton televisyen Singapura. Kalau di bahagian lain di Malaysia, mereka hanya boleh menonton TV1 dan TV2, orang Johor boleh tonton banyak saluran televisyen Singapura khususnya saluran Melayu yang menyiarkan program hiburan termasuk drama yang lebih baik. Penduduk Muar pasang antena tinggi supaya boleh tonton televisyen Singapura.

Ada pegawai tinggi RTS, Zain Mahmood berhijrah ke RTM pada tahun 1972 dan menjadi antara pegawai tertinggi RTM. Kehadiran beliau di RTM memberi kesan besar kepada dunia penyiaran Malaysia.

RTS kemudian berubah nama kepada Singapore Broadcasting Corporation (SBC) untuk mengikut British iaitu BBC dan Australia iaitu ABC. Kini rakyat Malaysia dengan mudah menonton saluran Singapura, Channel News Asia (CNA) untuk mengetahui sudut pandangan Singapura terhadap Malaysia dan dunia.

Banyak lagi perkara yang boleh diceritakan dan direnungkan mengenai 50 tahun Singapura berpisah daripada Malaysia baik dari segi politik, ekonomi, sosial dan budaya. Kedudukan geografinya tidak akan terlepas daripada Malaysia walaupun ia berupa sebuah negara merdeka dan berdaulat. Dengan adanya media sosial, hubungan antara kedua negara adalah lebih berkait, sama ada kepada yang lebih baik atau buruk.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link