Penetapan Semula Kata Laluan Maybank2u Kini Hanya Boleh Dibuat Melalui Aplikasi MAE
Amy Maizuraa
Maybank memaklumkan bahawa penetapan semula kata laluan Maybank2u kini hanya boleh dibuat melalui aplikasi MAE. Perubahan ini hanya melibatkan pengguna Individu dan Pemilik Tunggal. Sementara itu, pengguna M2UBiz dan M2E masih boleh guna kaedah sedia ada seperti biasa.

Jika pengguna masih ingat kata laluan tetapi mahu menukarnya, mereka boleh log masuk ke aplikasi MAE dan buat kemas kini melalui tetapan keselamatan. Jika terlupa kata laluan, mereka boleh menetapkannya semula sepenuhnya dalam aplikasi MAE dengan mengikuti langkah yang disediakan.
Untuk menetapkan semula, pengguna perlu memilih ‘Lupa Kata Laluan’ di halaman log masuk aplikasi. Kemudian, sahkan identiti melalui Secure2u dengan menggunakan kaedah pengesahan yang sama seperti semasa pendaftaran. Sama ada menggunakan kad debit, kad kredit atau nombor akses.

Pengguna perlu masukkan PIN enam digit, imbas kad pengenalan atau pasport dan ambil swafoto untuk pengesahan. Nama pengguna turut akan dipaparkan untuk semakan sebelum menetapkan kata laluan baharu dan mengesahkannya melalui Secure2u. Proses ini hanya boleh dilakukan sekali dalam tempoh 24 jam atas faktor keselamatan.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.