Gegaran gempa bumi berukuran 4.1 magnitud yang melanda Segamat awal pagi tadi mencetuskan suasana cemas dalam kalangan penduduk, khususnya mereka yang sedang bersiap memulakan rutin harian.
Kakitangan swasta Nur Hafiz Mukmin, 32, berkata dia terkejut apabila rumahnya di Jalan Tasek Alai tiba-tiba bergoyang ketika sedang bersiap ke tempat kerja kira-kira jam 6.15 pagi.
“Pada mulanya saya sangka struktur rumah nak runtuh. Saya sangat cemas lalu bergegas mengejut anak dan memaklumkan isteri untuk segera keluar rumah.
“Namun, sebaik di luar, jiran memaklumkan ia mungkin kejadian gempa bumi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Nur Hafiz berkata keadaan kembali tenang selepas beberapa saat, namun anaknya masih ketakutan untuk masuk semula ke rumah berikutan pengalaman tersebut.
Suri rumah Normala Mohamed, 66, yang menetap di Kampung Jabi pula berkata dia merasai gegaran ketika sedang menunaikan solat Subuh.
Ketika itu, katanya, dia melihat cermin di rumahnya bergegar dengan kuat.
“Saya bergegas ke dapur kerana bimbang berlaku sesuatu. Mujur rumah tidak mengalami sebarang kerosakan namun gegaran pagi tadi memang luar jangka,” katanya sambil menambah gegaran itu hanya sekejap tetapi benar-benar dirasai.
Sementara itu, peniaga nasi lemak Siti Rubiah Yasin, 52, berkata gegaran berkenaan sedikit sebanyak menjejaskan rutin niaganya pagi ini.
“Semasa kejadian, saya dan suami berada di dapur apabila beberapa lauk, termasuk sambal kerang, yang diletakkan di atas meja kayu depan rumah jatuh.
“Kami terpaksa mengemas terlebih dahulu sebelum keluar menjual nasi lemak pada jam 8 pagi,” katanya yang tinggal di sekitar Batu Anam.
Siti Rubiah berkata walaupun sedih kerana sebahagian lauk yang disediakan tidak dapat digunakan, dia reda dan bersyukur tiada kemalangan jiwa atau kerosakan serius berlaku.
Terdahulu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menasihati orang ramai agar menjauhi struktur tidak kukuh dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa susulan gempa bumi lemah yang dikesan berlaku pada jam 6.13 pagi itu.
Katanya selepas berhubung dengan Pegawai Daerah Segamat Mohd Ezzuddin Sanusi, dia dimaklumkan bahawa setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan.
– Bernama