Malaysia Oversight

Pendirian M’sia isu Myanmar berdasarkan keputusan Asean

By MkiniBM in November 4, 2025 – Reading time 2 minute
Pendirian M'sia isu Myanmar berdasarkan keputusan Asean


Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan hari ini menegaskan bahawa pendirian Malaysia mengenai pilihan raya junta Myanmar akhir tahun ini mestilah berdasarkan keputusan kolektif negara-negara anggota Asean.

Berucap di Dewan Rakyat, Mohamad turut mengulangi usaha yang lalu untuk membantu pelarian Myanmar – di Cox Bazaar, Bangladesh, dan di Malaysia – serta perbincangan berterusan yang baru-baru ini diadakan semasa Sidang Kemuncak Asean ke-47.

“Memperakukan atau tidak Myanmar sekarang ini, kerajaan Myanmar ini, keanggotaannya dalam Asean cuma di peringkat kepegawaian sahaja.

“Bila-bila mesyuarat, peringkat menteri dan juga ketua negara memang tidak dijemput. Berkenaan dengan pilihan raya dan juga Myanmar ini, Myanmar ini menjadi isu Asean dan Malaysia sebagai pengerusi Asean tahun ini, apa juga keputusan tentang Myanmar adalah berasaskan kepada keputusan Asean,” katanya.

Mohamad berkata demikian sebagai respons kepada Wong Chen (Pakatan Harapan-Subang) yang meminta kerajaan menyatakan sama ada Malaysia akan “menyokong” pilihan raya akan datang yang telah mencetuskan kebimbangan hak asasi manusia, termasuk daripada kalangan pelarian Myanmar.

Pada 31 Okt, Malaysiakini memetik penyokong pelarian yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Saw Mue Mue, yang menggambarkan negara itu dibelenggu trauma dan ketidakpastian dengan pemimpin junta, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing bergerak untuk mengukuhkan pemerintahannya melalui pilihan raya yang direka untuk menjadikan jawatan presidennya tetap.

Saw, presiden Jawatankuasa Penganjur Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) (Antarabangsa) Malaysia, menyamakan pilihan raya itu dengan memberi “lesen untuk membunuh” kepada tentera.

Menjelaskan lebih lanjut, Mohamad hari ini berkata, “Asean tegas dalam pendiriannya…jika pilihan raya hendak diadakan, ia mesti dijalankan secara adil, telus dan menyeluruh.”

“Selagi pilihan raya itu tidak lengkap, seperti apa hasrat yang telahpun dinyatakan oleh Asean, selagi itu adalah amat sukar untuk Asean, Malaysia sebagai pengerusi Asean, untuk memperakukan sebarang pilihan raya yang tidak adil, yang tidak telus, yang tidak inklusif,” tegasnya.

Di Sidang Kemuncak Asean, Perdana Menteri Ibrahim memuji “kerjasama” junta, manakala ketua PBB Antonio Guterres memberi amaran bahawa keamanan di Myanmar “masih sukar dicapai”.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), hampir lima juta orang telah kehilangan tempat tinggal di dalam dan di luar Myanmar sejak rampasan kuasa 2021, manakala Konsensus Lima Perkara Asean telah diabaikan.

Walau bagaimanapun, Mohamad hari ini menegaskan pelantikan utusan khas dan penglibatan berterusan mengenai pelaksanaan konsensus lima perkara sebagai tanda kemajuan di Myanmar.

“Cumanya yang tak adanya sekarang ini adalah pengurangan kepada kekejaman, serangan dan macam-macam. Dan juga akses bantuan kemanusiaan masih lagi tersekat-sekat.

“Tapi bukan tersekat sahaja disebabkan oleh kerajaan tapi tersekat juga disebabkan oleh etnik-etnik yang berperang sesama mereka,” tambahnya, menjawab soalan tambahan daripada Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) tentang bagaimana Malaysia dalam baki penggalnya sebagai pengerusi Asean berhasrat untuk mendesak pelaksanaan konsensus lima perkara.

Mengenai bantuan selanjutnya, Mohamad menegaskan bahawa Asean terikat dengan piagamnya untuk tidak campur tangan dalam isu domestik, tetapi Malaysia terus memainkan peranan untuk berunding tentang penyaluran bantuan kemanusiaan.



Source link