PUTRAJAYA: Pendidikan tinggi tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak menurut Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau menegaskan bahawa pelajar mempunyai saluran rayuan untuk menyelesaikan sebarang masalah dalam proses permohonan ke universiti.
“Saya sering kali sebutkan bahawa ini adalah soal anak-anak yang akan melanjutkan pelajaran dan saya tidak mahu menjadikan ia sebagai satu isu permainan politik oleh mana-mana pihak.”
“Saya telah menyebutkan berkali-kali bahawa bila ada masalah-masalah, bila kita ada proses rayuan kita, yang mana yang boleh kita guna dalam tempoh sepuluh hari yang diberikan untuk membuat rayuan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Program Karisma Antarabangsa: Kenegaraan Malaysia MADANI.
Zambry menambah bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi terbuka untuk mengambil perhatian sekiranya berlaku kekurangan dalam proses permohonan semasa.
“Sistem ini telah dilaksanakan selama ini dan kita sering kali membaiki dari semasa ke semasa. Jadi saya faham dari segi keperluan pelajar-pelajar kita yang ingin belajar untuk dapat tempat-tempat yang terbaik.”
Beliau mengulas mengenai aduan seorang pelajar STPM yang tidak mendapat tempat dalam program perakaunan di Universiti Malaya walaupun memperoleh PNGK 4.00 dan markah kokurikulum 9.90.
Zambry juga menyatakan kerajaan sentiasa membantu dan memastikan semua penuntut di luar negara berada dalam keadaan baik.
“Mereka (mahasiswa-mahasiswa) adalah duta kecil negara apabila mereka berada di luar nanti sebab anak-anak Malaysia sentiasa disantuni dan mereka melihat dari segi peribadi mereka yang baik dan sebagainya.”
“Kerajaan sentiasa membantu memastikan supaya keadaan mereka, keberadaan mereka di sana berada dalam keadaan baik sebab kita ada wakil-wakil ataupun Education Malaysia seperti di Mesir, Jordan dan juga di United Kingdom.” – Bernama