Umno melihat kenyataan balas yang dikeluarkan pihak Bersatu berhubung kenyataan pemimpin kanan PAS mengenai kerjasama mereka dalam PN bukan sekadar penjelasan biasa.
Sebaliknya, Umno melihat ada sesuatu yang terdedah secara tidak langsung sekali gus mengesahkan tanda tanya selama ini.
Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata melalui kenyataan dibuat bekas setiausaha politik Muhyiddin Yassin hari ini, terbuktilah desas-desus yang diperkatakan selama ini, iaitu PAS menerima bantuan kewangan daripada Bersatu.
“Patutlah PAS sanggup meninggalkan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) untuk bersama Bersatu mendaftar dan menubuhkan PN,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Tambah Asyraf Wajdi, pada waktu itu pelbagai pihak menyampaikan maklumat kepada Umno dengan mendakwa Bersatu menawarkan bantuan kewangan kepada PAS bagi menghadapi PRU ke-15.
“Justeru, hari ini, apabila bekas setiausaha politik Tan Sri Muhyiddin sendiri mendedahkan segala perbelanjaan PN – termasuk (untuk) calon PAS – ditanggung Bersatu, ia hanya mengesahkan cakap-cakap waktu itu,” katanya.
Pagi tadi, bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin, Marzuki Mohamad, menempelak kenyataan Naib Presiden PAS merangkan ketua pengarah pilihan raya parti itu, Muhammad Sanusi Md Nor, yang menyindir Bersatu kerana didakwanya banyak bergantung kepada mereka dalam pilihan raya.
Selain aspek jentera, Sanusi mendakwa, parti dalam PN itu juga berharap kepada bantuan kewangan daripada PAS. Dalam keadaan begitu pun, kata Sanusi, parti terbabit mahu menjadi “ketua”.
PN nampak mewah PRU lalu
Kenyataan Sanusi yang dibuat semasa penggulungan muktamar berkenaan sekadar menegaskan lagi pendirian PAS yang mahu parti itu memainkan peranan lebih besar dalam PN berbanding Bersatu
Menurut Marzuki, Bersatu sebenarnya turut menanggung kos perbelanjaan PRU ke-15 sehingga membuka peluang kepada PAS mencatat sejarah apabila memenangi 43 kerusi parlimen – suatu pencapaian tertinggi parti berkenaan setakat ini.
“Perbelanjaan PN pula semuanya ditanggung oleh Bersatu. Malah Bersatu juga memberikan sumbangan kewangan yang bukan sedikit kepada PAS,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, pula berkata kenyataan pedas Sanusi semalam bukan sahaja tepat pada Muhyiddin, malah mencetuskan serangan balas daripada Marzuki.
“Pertama, PAS tidak tahu bersyukur. Bersatu bersusah payah sediakan dana hingga PAS menang 43 kerusi. Kini giliran kain sarung PAS terlondeh,” katanya.
Puad turut membangkitkan persoalan sama ada PAS mengambil tahu sumber dana politik Bersatu.
“Apakah PAS parti yang rela bersubahat? Apakah PAS tanya dari mana sumber dana politik Bersatu? Apakah duit halal atau duit rasuah?” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Mohd Puad yang juga Speaker DUN Johor turut menyentuh pengakuan bekas Ahli Parlimen Ketereh dan bekas Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, yang mendakwa pernah melihat “duit berlonggok atas katil” di dalam bilik hotel Muhyiddin ketika Sabah mengadakan pilihan raya negeri pada 2020.
“Sekarang PAS dan Bersatu bergaduh pula tentang duit pilihan raya. Marzuki kata belanja minimum untuk satu kerusi parlimen ialah RM1 juta.
“Patutlah PN nampak mewah pada PRU ke-15 sedangkan gabungan itu baru ditubuhkan. Persoalannya, dari mana mereka dapat duit sebanyak itu?” katanya.