Pemuda PKR (AMK) hari ini menganggap pendirian ditunjukkan PAS berhubung kekecohan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur semalam seolah-olah ‘menghalalkan’ apa yang berlaku.
Ketua AMK, Kamil Munim, berkata kejadian kekecohan semalam adalah bersifat ganas dan biadab ke atas pihak yang memiliki kuasa menjalankan perintah mahkamah.
“Menghalalkan keganasan atau kekerasan fizikal terhadap pihak berkuasa keselamatan dalam keadaan tiada seorang pun penduduk yang dicederakan oleh pihak berkuasa adalah sesuatu yang menuntut kecaman dan kejian dari semua pihak yang cintakan keamanan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Kamil mengulas pandangan PAS yang menganggap kekecohan semasa proses pengosongan kediaman dibuat di Kampung Sungai Baru itu sebagai gambaran awal terhadap apa yang bakal berlaku jika rang undang-undang Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) diluluskan.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Fadhli Shaari, berkata tanpa pertimbangan belas kasihan, pemaju akan diberi kuasa yang luas sehingga rakyat berisiko diusir dari rumah mereka sendiri.
Fadhli turut mengkritik proses pengusiran tersebut – yang dilaksanakan oleh pegawai mahkamah – dengan menyifatkan ia sebagai “amat tidak berperikemanusiaan” kerana dilakukan ketika rayuan penduduk dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan.
Pemuda PAS Pusat turut mengeluarkan kenyataan senada dengan Ahmad Fadhli.
Dalam insiden tersebut, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman, turut cedera.
Kamil berkata di sebalik pendirian mendukung penduduk terbabit, PAS tidak menyentuh langsung atau mengecam insiden kecederaan yang berlaku.
Justeru, tanya Kamil, apakah PAS kini mahu mengangkat budaya politik melampau menyusuli peristiwa pembacaan Qunut Nazilah baru-baru ini dengan berdiam diri ketika anggota polis dicederakan.
“Sebahagian pemimpin PAS yang mengamalkan politik ala khawarij ini harus ditentang dan ditolak sekerasnya demi Malaysia yang aman dan stabil,” katanya.
Dia juga menggesa siasatan dijalankan dengan telus dan adil agar pegawai keselamatan yang cedera mendapat pembelaan sewajarnya.