Malaysia Oversight

Pencapaian terburuk kem terjun negara

By Utusan in August 4, 2025 – Reading time 2 minute
Pencapaian terburuk kem terjun negara


PETALING JAYA: Kem terjun negara menamatkan kempen Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura dengan pencapaian terburuk apabila gagal meraih sebarang pingat dalam kesemua acara yang disertai sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai prestasi semasa sukan tersebut.

Pengarah Teknikal Terjun Kebangsaan, Yeoh Ken Nee menyifatkan prestasi keseluruhan barisan penerjun negara kali ini sebagai kurang konsisten, khususnya dari segi lonjakan dan kemasukan ke dalam air yang memberi kesan besar terhadap pemarkahan.

“Secara keseluruhan, prestasi penerjun kita di kejohanan dunia kali ini bukan yang terbaik, namun ia juga tidak terlalu buruk, khususnya buat atlet muda yang pertama kali menyertai kejohanan sebesar ini.

“Beberapa terjunan yang dilakukan boleh dikatakan baik, tetapi terdapat ketidaktentuan dalam teknik terutamanya ketika ‘take-off’ dan ketika kemasukan ke dalam air.

“Faktor ini membuatkan mereka sukar untuk meraih markah tinggi dan kekal bersaing dengan penerjun bertaraf dunia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Penerjun negara, Elvis Priestly Clement, menamatkan kempen sulung kejohanan dunianya dengan menduduki tempat ke-16 dalam acara separuh akhir 10 meter platform lelaki yang berlangsung di Pusat Akuatik OCBC, Singapura.

Penerjun berusia 18 tahun kelahiran Sarawak itu mengumpul 399.80 mata selepas melengkapkan enam terjunan, namun gagal berada dalam kelompok 12 penerjun terbaik yang layak ke peringkat akhir.

“Elvis menunjukkan potensi yang baik dalam acara 10 meter platform.Terjunan kebanyakannya bersih dan dia juga mempunyai ketinggian serta jarak yang memadai dari papan ini adalah kriteria penting dalam pemarkahan.

“Namun, kelemahan masih ketara pada bahagian ‘take-off’ serta kedudukan badan ketika pusingan, lebih-lebih lagi dalam terjunan yang mempunyai tahap kesukaran tinggi. Perkara ini menjejaskan impak keseluruhan persembahannya,” jelasnya.

Elvis sebelum ini menunjukkan aksi cemerlang pada pusingan awal kelmarin apabila berjaya menduduki tempat ke-10 daripada 48 penerjun dengan kutipan 432.90 mata, sekali gus melayakkan diri ke separuh akhir.-UTUSAN





Source link