Malaysia Oversight

Penahanan Hunter: Permulaan kerjasama Asean sekat kebebasan bersuara?

By MkiniBM in October 2, 2025 – Reading time 2 minute
Penahanan Hunter: Permulaan kerjasama Asean sekat kebebasan bersuara?


Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempersoalkan apakah penahanan pengulas politik dan penyelidik akademik, Murray Hunter, menandakan permulaan kerjasama dalam kalangan negara Asean untuk mengekang bantahan serta kebebasan bersuara di rantau ini.

Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, turut mengecam keutamaan yang dilihat lebih menumpukan kepada penahanan Hunter, sedangkan ahli perniagaan Low Taek Jho, masih bebas.

“Sebelum ini, Malaysia memudahkan penghantaran pulang pekerja domestik Kemboja, Nuon Thoeun, yang dihantar balik ke negaranya kerana mengkritik pemimpin mereka.

“Kini, penahanan wartawan dan penyelidik asing yang juga pengkritik Perdana Menteri Ibrahim menjadi amaran keras kepada wartawan lain di seluruh Asia Tenggara,” kata Arutchelvan dalam satu kenyataan semalam.

4a161d82cdd03767b95d81d4d8fc79ee

Hunter yang merupakan warganegara Australia, ditahan selama 48 jam dan didakwa di Thailand berhubung kritikannya terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Dia kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin pada 30 Sept selepas ditahan sehari sebelumnya, dan kini menunggu perbicaraan pada 17 Nov, di mana dia mendakwa MCMC akan dipanggil sebagai pihak pendakwa.

Dalam wawancara telefon bersama Malaysiakini semalam, Hunter mendakwa polis Thailand bertindak atas arahan MCMC.

Dia juga mendakwa telah didakwa atas tuduhan fitnah susulan beberapa artikel blognya yang mengkritik pihak berkuasa Malaysia.

5ab106a3983459ad95c9ebcd234fe9fe

Mengulas lanjut, Arutchelvan menggesa Menteri Komunikasi, Fadzil untuk menjelaskan pendirian Malaysia mengenai kebebasan media serta kerjasama kehakiman rentas sempadan.

“Kami memerhati dengan penuh kebimbangan apabila MCMC cuba menggunakan mahkamah Thailand untuk kes fitnah.

“Jika ini diteruskan, ia bakal mencipta satu duluan berbahaya di rantau ini, di mana -kerajaan bekerjasama untuk membungkam pengkritik di luar sempadan masing-masing,” katanya.

Dia menambah wartawan perlu menilai semula anggapan bahawa Bangkok merupakan tempat selamat serta pusat untuk isu-isu hak asasi manusia.

Pada Mac 2024, polis Malaysia pada awalnya membuka siasatan “3R” terhadap Hunter atas dakwaan kritikan berhubung isu bangsa, agama dan institusi diraja.

Ketua Polis Negara ketika itu, Razarudin Husain, turut mengumumkan bahawa PDRM telah meminta bantuan Interpol untuk mengesan Hunter yang dipercayai menetap di Bangkok.

Pada April 2024, MCMC juga membuat laporan polis terhadap Hunter berhubung tulisan blognya yang didakwa berunsur fitnah. MCMC mendakwa Hunter secara terbuka menuduh suruhanjaya itu bertindak di luar bidang kuasa demi kepentingan peribadi, serta menakut-nakutkan orang awam bersama pihak polis.

Lawyers for Liberty ketika itu mengkritik tindakan berkenaan sebagai satu sekatan terhadap kritikan dan kebebasan bersuara, sambil menyifatkannya “tidak adil” untuk rakyat menerima aduan polis daripada sebuah badan besar seperti MCMC.



Source link