Pemuda Umno hari ini menegaskan, isu Jalur Gemilang yang dipasang terbalik di sebuah sekolah vernakular baru-baru ini bukanlah persoalan politik sebaliknya menyentu semangat patriotisme.
Oleh sebab itu, kata sayap Umno berkenaan, siasatan menyeluruh mesti dijalankan dan jika benar insiden itu melibatkan individu orang kurang upaya (OKU) tindakan tetap harus diambil.
Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh, berkata sekolah terbabit dianggap bertanggungjawab atas kejadian tidak diingini itu jika mereka membenarkan individu OKU memasang bendera negara tanpa pengawasan.
Akmal juga mempersoalkan mengapa pekerja OKU terbabit boleh diberikan tanggungjawab memasang Jalur Gemilang tanpa pengawasan.
“Kenapa pekerja itu diberikan tanggungjawab memasang bendera jika sudah tahu beliau ialah seorang OKU, dan bukannya pekerja lain?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akmal yang juga exco Melaka turut menganggap pihak sekolah tidak cakna kerana membiarkan Jalur Gemilang dipasang terbalik begitu saja selepas dinaikkan.
“Kita tidak mahu alasan OKU atau orang kurang siuman menjadi alasan utama lagi jika perkara ini berulang kembali,” katanya.
Semalam Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mendakwa insiden bendera berkenaan – yang berlaku di SJK(C) Chung Hua di Port Dickson – sudah dipolitikkan pihak tertentu.
Justeru Akmal berkata ahli politik yang mendakwa isu Jalur Gemilang tersebut tidak wajar dipolitikkan itulah sebenarnya yang mempolitikkan perkara tersebut.
“Kepada pemimpin politik yang bercakap jangan politikkan perkara ini, kamu sebenarnya yang mempolitikkan perkara ini kerana ia bukan soal politik, tetapi patriotisme terhadap negara ini,” katanya.
Untuk rekod pihak sekolah terbabit sudah membuat permohonan maaf secara terbuka dan mendakwa ia berlaku akibat kecuaian seorang daripada kakitangannya.
Akmal berkata Kementerian Pendidikan Malaysia mesti menyiasat identiti dan keadaan individu yang didakwa OKU berkenaan.