Pemuda Umno tidak akan menyertai himpunan anti-Akta Pembaharuan Bandar (PSB) anjuran PAS yang dijadualkan pada 4 Oktober ini, kecuali jika kerajaan menolak beberapa cadangan mereka berhubung perkara tersebut.
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh berkata walaupun partinya berkongsi pendirian sama dengan PAS dalam menentang rang undang-undang itu, dia berkata adalah lebih baik untuk duduk semeja dengan pelbagai parti politik terlebih dahulu.
“Bila kita tolak, kita tak nak tolak begitu (sahaja). Kita kena datangkan satu solusi terbaik.
“PAS ada cadangannya, Umno ada cadangannya. Kita kumpulkan cadangan terbaik dan serahkan kepada kerajaan.
“Jika kerajaan tak nak terima cadangan kita ini, saya beri komitmen kita akan turun sama membantah RUU PSB,” katanya dalam satu video yang disiarkan di Facebook malam tadi.
Akmal berkata BN akan membincangkan isu itu dalam forum Urbanisasi dan PSB: Survival Melayu Bandar bertempat di bangunan Umno Selasa ini.
Katanya, mengadakan himpunan tanpa memberikan cadangan terbaik kepada kerajaan hanya akan mendatangkan keburukan bukannya kebaikan.
“Kita nak terbaik untuk rakyat. Saya ajak NGO atau parti apa sekalipun duduk semeja cari satu solusi untuk dikemukakan kepada kerajaan,” katanya.
Akmal turut menekankan bahawa Umno telah menubuhkan satu jawatankuasa awal bulan ini untuk membincangkan isu berkaitan rang undang-undang tersebut, dengan Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa.

Pada 3 September, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki turut berkata jawatankuasa itu akan meneliti dengan mendalam semua aspek rang undang-undang tersebut sebelum dibentangkan pada forum hari ini.
Jemputan rasmi
Semalam, Pemuda PAS mengumumkan bahawa mereka akan menghantar jemputan rasmi kepada Umno untuk menyertai himpunan bantahan PSB pada 4 Oktober.
Kumpulan itu menjelaskan bahawa himpunan tersebut bertujuan memberi tekanan kepada kerajaan supaya menarik balik rang undang-undang berkenaan, dan jemputan kepada Pemuda Umno dibuat kerana kedua-dua parti berkongsi pendirian sama untung menentang rang undang-undang itu.
Akta yang dicadangkan itu bertujuan memudahkan pembangunan semula kawasan yang telah berusia puluhan tahun.

Antara aspek utama rang undang-undang tersebut ialah ambang persetujuan bagi pembangunan semula bandar serta bentuk pampasan kepada penduduk yang terlibat.
Pada 21 Ogos, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat.
Pihak pembangkang menyuarakan bantahan keras terhadap rang undang-undang tersebut, dan mendakwa terdapat motif tersembunyi di sebalik pengenalannya.
Tidak dapat dipastikan jika tentangan ini menjadi alasan buat kerajaan menangguhkan perbahasan rang undang-undang itu ke sidang Dewan Rakyat seterusnya.

Pada 28 Ogos, Nga mengumumkan beberapa pindaan, khususnya berkaitan komposisi demografi dan ambang persetujuan daripada pemilik hartanah.