Amanah Johor mengecam sindiran menggunakan kad orang kurang upaya (OKU) oleh Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, terhadap pemimpin Pemuda DAP dalam isu Jalur Gemilang terbalik.
Menganggapnya sebagai tidak beradab dan tidak bertanggungjawab, Naib Pengerusi Amanah Johor, Zuhan Zain, berkata sindiran mengaitkan status OKU adalah satu penghinaan terbuka terhadap komuniti OKU di negara ini.
“Kenyataan seperti ini sangat tidak wajar dan mencerminkan kedangkalan pemikiran politik yang semakin jauh dari adab serta nilai kemanusiaan.
“Sindiran terhadap status OKU adalah satu penghinaan terbuka terhadap komuniti OKU di negara ini. Ia bukan sahaja tidak sensitif, malah menunjukkan sikap tidak matang dan gagal memahami erti kepimpinan yang berjiwa rakyat.
“Golongan OKU adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia yang seharusnya dilindungi, bukan dijadikan bahan sindiran murahan oleh pemimpin politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Akmal mencadangkan agar pemimpin Pemuda DAP yang mengkritiknya turut diberikan status OKU.
“Tolong bagi mereka ni cermin dan kad OKU sekali. Malas nak taip panjang-panjang dah, sebab bebal sangat nak faham,” katanya dalam catatan Facebook.
Akmal yang juga exco Melaka berkata demikian sebagai respons kepada artikel yang memetik Penolong Setiausaha Pemuda DAP Edmund Lim menuduhnya tidak konsisten dan hipokrit dalam isu berkenaan.
Terdahulu, Akmal menggesa pihak berkuasa meneruskan siasatan meski selepas didedahkan bahawa bendera yang terbalik di sebuah sekolah vernakular berkenaan dipasang oleh pekerja berkeperluan khas.
Mempersoalkan kebijaksanaan pihak sekolah mengamanahkan tugas menaikkan bendera kepada orang sedemikian, dia berkata: “Kita tidak mahu alasan OKU atau orang kurang siuman menjadi alasan utama lagi jika perkara ini berulang kembali.”
Dia turut menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia menyiasat identiti dan keadaan individu yang dikatakan OKU itu.
Lebih mengecewakan, kata Zuhan, isu bendera terbalik kini digunakan sebagai modal politik sempit, dengan menunggang semangat patriotisme secara selektif.
“Di mana suara Pemuda Umno apabila insiden bendera terbalik berlaku di bangunan agensi kerajaan, syarikat swasta atau sekolah lain?
“Mengapa hanya apabila melibatkan institusi pendidikan vernakular, isu ini ditunggang secara besar-besaran?
“Amanah Johor berpegang kepada politik adab dan nilai madani yang mengajak kepada kasih sayang, harmoni serta membina perpaduan dalam masyarakat.
“Tindakan ketua Pemuda Umno ini jelas bertentangan dengan semangat itu, malah menjurus kepada budaya politik kebencian yang tidak membawa manfaat kepada rakyat,” katanya lagi.
Justeru Zuhan menyeru agar Umno menilai kembali corak kepimpinan dalam sayap pemuda mereka.