Pemuda Umno membatalkan rancangannya untuk mengadakan perhimpunan “Himpunan Maruah Tanah Airku” hari ini yang pada mulanya direncana diadakan di Kepala Batas, Pulau Pinang sebagai membantah pemilik kedai yang mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik.
Dalam satu kenyataan, sekretariat Pemuda Umno berkata keputusan itu dibuat atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Pihak Pemuda Umno Malaysia memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan mengucapkan terima kasih atas sokongan semua pihak, khususnya rakan-rakan media,” tambah sekretariat Pemuda Umno.
Semalam, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menangguhkan rancangannya untuk “mendidik” pemilik kedai berkenaan cara mempamerkan Jalur Gemilang selepas polis menahan seorang lelaki berhubung kes itu.
“Disebabkan polis telah menangkap dan lelaki yang kibar bendera Malaysia terbalik ini akan didakwa esok, maka kami memberikan ruang seluasnya pada pihak pendakwa untuk menjalankan proses undang-undang. Maka kelas untuk mengajar pasang bendera kepadanya esok akan ditangguhkan.
“Kami desak agar pihak pendakwaraya, dan memohon pada pihak mahkamah, agar individu ini didakwa dan dikenakan hukuman yang berat agar dapat menjadi pengajaran kepada semua pihak pada masa yang mendatang,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Meski pemangku ketua polis Pulau Pinang Alwi Zainal Abidin mengesahkan penahanan itu, tidak jelas bila lelaki itu akan didakwa di mahkamah kerana polis akan merujuk kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya hari ini, bersama-sama dengan cadangan pertuduhan.
Alwi juga berkata kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Pencegahan Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Pada 9 Ogos, akhbar harian berbahasa Cina Kwong Wah Yit Poh melaporkan bahawa pemilik kedai, Feng Jin Zhen menjelaskan bahawa dia sedang mengukur panjang sebatang tiang besi semasa menggantung bendera itu dan tidak menyedari ia terbalik.
Apabila menyedari bendera itu terbalik, Feng berkata dia segera membetulkannya.
Dia juga berkata dia tidak menyedari keseluruhan proses telah dirakam dan dimuat naik ke Facebook, dan kesal kerana video itu tidak merakan apabila kedudukan bendera telah diperbetulkan.