Pemuda PKR menggesa kerajaan negeri Pahang membatalkan projek pembalakan di Hutan Simpan Tersang seluas kira-kira 1,800 padang bola.
Ini selepas penilaian kesan alam sekitar (EIA) mendapati pihak yang paling terkesan dengan projek itu adalah masyarakat Orang Asli yang tinggal berhampiran.
Ketua Biro Orang Asal Pemuda PKR Leo Arrey Romani dalam satu kenyataan berkata, masyarakat lain yang tinggal berhampiran dan bergantung harap kepada hutan juga akan terjejas terutamanya jika berlaku pencemaran air.
Dia juga mengkritik percubaan untuk mewajarkan projek itu sebagai mewujudkan pekerjaan untuk Orang Asli.
“Hakikatnya, projek sebegini lebih menguntungkan pekerja asing, manakala model ekonomi Orang Asal yang lestari dan mandiri pula dimusnahkan kerana kebanyakan daripada penduduk orang asal mempunyai kebun sendiri dan kurang berminat untuk bekerja di ladang mega,” katanya.
Semalam Malaysiakini melaporkan EIA itu sebagai menyatakan cadangan projek pembalakan itu akan memberi kesan kepada suku kaum Semai yang tinggal di tiga kampung Orang Asli – kampung Hulu Renggol, kampung Rempan, dan kampung Semalin – yang terletak 3km dari tapak projek itu.
“Projek itu akan mengurangkan kawasan mencari makanan yang boleh diakses untuk masyarakat Orang Asli, menjejaskan pengumpulan tradisional hasil hutan mereka untuk tujuan pendapatan, sara hidup dan perubatan,” tambah EIA itu.
Laporan itu juga menyatakan bahawa hubungan budaya dan rohani Orang Asli dengan tanah itu akan terjejas.
Leo berkata, pada masa hadapan, sebarang projek yang melibatkan hutan mesti dilakukan secara berunding dengan masyarakat asli, dan menjurus kepada model pembangunan mampan seperti pelancongan eko dan bukannya aktiviti yang merosakkan alam sekitar dan menghapuskan warisan Orang Asli.
Projek Hutan Simpan Tersang menyasarkan untuk mewujudkan ladang hutan seluas 1,289.63ha dalam hutan simpan, dilengkapi dengan rangkaian jalan sepanjang 22km.
Fasa pertama pembangunan melibatkan aktiviti pembalakan dan pembersihan hutan, yang menurut laporan itu akan menjejaskan hidupan liar, memburukkan isu hakisan tanah sedia ada, dan kualiti air.
Projek itu bukan satu-satunya di kawasan itu, kerana laporan itu berkata 10 projek lain telah diluluskan sejak beberapa tahun lalu di kawasan itu.
Laporan EIA itu tersedia untuk paparan umum dari 5 Ogos hingga 5 Sept.
Maklum balas boleh diberikan di sini sehingga 18 Sept.