Pemuda PAS menggesa seluruh jentera sayap parti itu menggerakkan penyokong mereka menghadiri himpunan membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) pada 4 Okt ini.
Timbalan Ketua Pemuda PAS, Hafez Sabri berkata, Pemuda PAS juga membuat jemputan terbuka kepada semua parti politik, NGO dan NGI yang menolak PSB untuk bersama dalam jawatankuasa khas himpunan berkenaan.
“Seluruh pemuda PAS di setiap negeri dan kawasan diarahkan untuk menganjurkan siri penerangan serta jelajah ceramah #TolakURA bagi memberi kesedaran kepada rakyat tentang keburukan pelaksanaan URA.
“Kami menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk kita bersatu dan bangkit bersama menyatakan bantahan terhadap RUU URA oleh DAP ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, selagi mana URA kekal berat sebelah, memihak semata-mata kepada pemaju dan tidak melindungi kepentingan penduduk, Pemuda PAS akan terus menentangnya dengan apa juga cara yang sah, selagi tidak bertentangan dengan undang-undang dan kerangka demokrasi negara.
Pemuda PAS pada muktamar mereka minggu lalu mengumumkan akan mengadakan himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur sebagai membantah akta berkenaan.
PSB pada masa ini masih berbentuk rang undang-undang dan dijadualkan akan dibahaskan dalam sidang Parlimen akan datang bagi membolehkan kerajaan menjalankan projek pembangunan semula di sesuatu kawasan.
Ini terutamanya dengan mengurangkan syarat ambang persetujuan, bergantung kepada usia sesebuah bangunan.
Undang-undang itu memperuntukkan bahawa penduduk perlu diberi pampasan, namun pengkritik berpendapat ia masih tidak mencukupi.
PAS sebelum ini mendakwa projek pembangunan semula akan menyebabkan orang Melayu semakin terpinggir di kawasan bandar.
Kerajaan berjanji membuat penambahbaikan terhadap rang undang-undang tersebut bagi menangani kebimbangan mengenai demografi dan syarat ambang persetujuan sebelum ia dibahaskan.