MUKTAMAR PAS | Struktur kepemimpinan PN dan persediaan berdepan dengan pilihan raya adalah antara isu yang dijangka dibahaskan oleh Pemuda PAS dalam muktamar tahunan mereka kali ke-66 hari ini.
Bercakap kepada Malaysiakini, ketua penerangan sayap PAS itu, Khairul Nadzir Helmi Azhar, berkata hal itu termasuk bagaimana gabungan PN harus dibentuk ketika mereka bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan PRU akan datang.
Antara lain, katanya, ia disebabkan Pemuda PAS melihat ada kemungkinan penyertaan “keluarga baru” yang akan memasuki gabungan PN.
“Memang isu pengurusan tentang penstrukturan, kelicinan pentadbiran PN – itu semua akan dibincangkan (dalam perbahasan).
“(Misalnya) bagaimana PN akan bergerak pada pilihan raya akan datang ni dan strukturnya… hal itu akan dibahaskan, sebab kami menjangkakan ada keluarga baru dalam PN yang kita perlu bersedia,” katanya.
Bagaimanapun Khairul Nadzir tidak menamakan sebarang parti yang dimaksudkan itu.
Pun begitu ada kemungkinan dia merujuk kepada dua anggota komponen BN – MCA dan MIC – yang ketika ini secara jelas menunjukkan rasa kurang senang kepada kerajaan, malah sudah ada desakan agar mereka mengambil langkah berani meninggalkan gabungan tersebut.
Pada masa sama Khairul Nadzir turut memberi bayangan bahawa muktamar kali ini – yang diadakan di Kota Sarang Semut, Alor Setar – akan menyaksikan “usul yang sangat menarik” dikemukakan. Namun dia enggan mendedahkan perkara itu dengan lebih lanjut.
“Akan ada usul yang sangat menariklah, tapi tunggu esok (hari ini),” katanya.
Ditanya sama ada perwakilan mungkin membawa isu calon perdana menteri PN, dia hanya berkata, hal itu tidak dimaklumkan kepada pihak urus setia setakat ini.
“Hal itu (isu menamakan calon perdana menteri) tidak ada dimaklumkan. Macam tak ada, tapi tengoklah macam mana nanti,” katanya lagi.
Muktamar Pemuda PAS juga, kata Khairul Nadzir, turut memperkatakan isu Akta Pembaharuan Semula Bandar, krisis perang dan kemanusiaan di Gaza serta persiapan jentera pilihan raya.
Muktamar Pemuda PAS bermula malam tadi dengan beberapa acara rasmi. Ucapan dasar ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, akan berlangsung pada hari ini sebelum diikuti dengan sesi perbahasan.






