Ketika ketegangan di antara MIC dan DAP semakin meningkat, Pemuda MIC Perak kini tampil menawarkan ‘penyelesaian’ dengan cara yang lebih terbuka – mengadakan perdebatan.
Ketua Pemuda MIC Perak, Theeagesh Ganesan, berkata dia bersedia berdepan dengan Adun Buntong, M Thulsi, bagi memperkatakan isu masyarakat India yang menjadi titik pertikaian kedua-dua parti.
Theeagesh memberitahu Malaysiakini, dia mencadangkan agar perdebatan tersebut ditumpukan kepada persoalan prestasi MIC dan DAP dalam memberikan khidmat kepada masyarakat India.
Katanya walaupun kerusi MIC – sama ada di peringkat dewan undangan negeri atau Dewan Rakyat – terhad, parti itu masih mampu membawa kemajuan bermakna kepada orang ramai.
“DAP telah lama menuduh MIC mengecewakan masyarakat India.
“Saya mencabar Thulsi untuk menjelaskan apa yang telah dicapai oleh DAP, terutama apabila DAP kini menguasai 40 kerusi parlimen dan merupakan parti terbesar dalam kerajaan pimpinan PH.
“Memandangkan banyaknya kerusi yang disandang DAP, mereka sepatutnya menyerahkan ‘bulan dan bintang’ yang pernah mereka janjikan kepada masyarakat India.
“Justeru saya ingin dengar penjelasan terbuka Thulsi mengapa – di sebalik semua kuasa yang mereka ada – (personaliti kontroversi) Zamri Vinoth masih belum didakwa kerana menghina Hindu.
“Mari juga bercakap mengenai pemindahan dan perobohan kuil Hindu, tempat matrikulasi pelajar India, dan tidak lupa, isu berkaitan Unit Transformasi India Malaysia (Mitra),” tambahnya.
Theeagesh berkata jika Thulsi bersetuju dengan perdebatan itu – yang dicadangkannya disiarkan secara langsung di media sosial – dia juga ingin memberi tumpuan kepada sumbangan Adun kepada pengundinya.
Misalnya, kata Theeagesh, berkaitan isu banjir Padang Kelab Rekreasi India Buntong (IRC) yang didakwa Thulsi mendapat peruntukan ratusan ribu ringgit, serta penambahbaikan dan pembangunan yang dilaksanakannya di Buntong.
“Bagaimana pula dengan isu berkaitan penjual kacang putih dan tanah kuil di Buntong?” katanya.
Dalam satu kenyataan semalam, Theeagesh menggesa Thulsi untuk “berhenti bersandiwara” berhubung dakwaan dia didesak meminta maaf atau berdepan kempen fitnah yang akan turut melibatkan keluarganya.
Thulsi yang merupakan anak kepada bekas ahli parlimen DAP, Manogaran Marimuthu, mendakwa dia juga menjadi sasaran kecaman di media sosial namun berjanji tidak akan tunduk kepada tekanan.
Dalam keadaan begitu, kata Theeagesh, apa yang patut dilakukan oleh Thulsi ialah membuat laporan polis.
Perang mulut itu tercetus tercetus selepas Thulsi mencadangkan MIC keluar dari kerajaan Madani apabila pemimpin parti itu mendakwa mereka berasa dilayan seperti “tetamu tidak diundang” dalam kerajaan perpaduan.
Kenyataan itu dikeluarkan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan.