Malaysia Oversight

Pemuda MIC dakwa pelajar hilang empati, gesa kaji semula sistem pendidikan

By MkiniBM in October 15, 2025 – Reading time 2 minute
Pemuda MIC dakwa pelajar hilang empati, gesa kaji semula sistem pendidikan


Ketua Pemuda K Arvind menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melakukan kajian semula menyeluruh terhadap sistem pendidikan negara.

Gesaan itu hadir susulan beberapa insiden melibatkan pelajar sekolah yang mencetuskan kebimbangan masyarakat terhadap tahap moral dan pemikiran generasi muda masa kini.

Arvind berkata, semakan semula itu perlu melibatkan aspek kurikulum, sistem pentadbiran sekolah serta pendekatan terhadap pembangunan sahsiah dan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) di kalangan pelajar.

“Kita bukan sekadar perlu ubah silibus, tetapi juga struktur pentadbiran di sekolah. Banyak kes yang timbul sejak kebelakangan ini menunjukkan pelajar kita tidak lagi mempunyai kemampuan berfikir secara kritikal atau empati terhadap orang lain.

“Mereka datang daripada latar belakang berbeza, namun tetap terlibat dalam tindakan menyalahi undang-undang.

“Ini menunjukkan masalah ini bukan isu individu semata-mata — ia masalah sistem,” katanya kepada Malaysiakini.

Arvind berkata demikian ketika merujuk beberapa insiden yang tular baru-baru ini, termasuk kes kematian Zara Qairina Mahathir, kes rogol di sekolah di Melaka, kes bunuh diri seorang calon SPM serta yang terbaru kes pelajar ditikam di Petaling Jaya, .

Menurutnya, semua kejadian itu menggambarkan kegagalan sistem sedia ada dalam membentuk pelajar yang berfikiran matang dan berperikemanusiaan.

Mengulas lanjut, Arvind menyelar sikap sesetengah pihak pentadbiran sekolah yang enggan mengambil tindakan tegas terhadap kes buli atau salah laku atas alasan tidak mahu menjejaskan reputasi sekolah.

“Masalah sebenar jauh lebih besar daripada apa yang dilaporkan. Kes-kes yang kita dengar hanyalah ‘tip of the iceberg‘. Ramai guru dan pelajar memilih berdiam diri kerana tiada saluran aduan yang benar-benar berkesan,” tambahnya.

“Sudah tiba masanya melakukan ‘total revamp’ (rombakan menyeluruh) terhadap sistem pendidikan, termasuk memperkukuh aspek kesihatan mental, pendidikan emosi, serta latihan guru dalam menangani krisis pelajar.

“Kita tidak boleh terus mengukur kejayaan pelajar hanya melalui akademik dan keputusan peperiksaan. Kecerdasan emosi, empati, moral dan keupayaan berfikir kritikal perlu menjadi keutamaan,” katanya.



Source link