Malaysia Oversight

Pemuda MCA gesa tubuh RCI siasat kaedah kemasukan universiti awam

By MkiniBM in September 12, 2025 – Reading time 2 minute
Pemuda MCA gesa tubuh RCI siasat kaedah kemasukan universiti awam


Pemuda MCA menyuarakan kebimbangan terhadap apa yang disifatkan sebagai kelemahan dalam sistem kemasukan universiti di Malaysia, dengan merujuk kes pelajar cemerlang STPM, Edward Wong, sebagai petanda kepada masalah lebih mendalam.

Ketua Pemuda MCA Ling Tian Soon berkata “komersialisasi” dalam pengambilan pelajar universiti awam telah menjejaskan merit dan keadilan dalam pendidikan tinggi.

Dia menggesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat program kemasukan terus, yang menurutnya kini merangkumi sehingga 40 peratus pengambilan pelajar.

“Kemasukan terus kini meluas, sehingga 40 peratus pengambilan, dan ini menjejaskan pelajar daripada golongan M40 dan B40.

“Tanpa pertambahan jumlah tempat secara keseluruhan, peluasan kemasukan secara terus bermaksud peluang melalui UPU semakin berkurangan.

“Mengambil kira kontroversi yang semakin meningkat, kami mengulangi desakan parti supaya RCI ditubuhkan untuk meneliti bagaimana kemasukan secara komersial telah menjejaskan kuota UPU dan menyimpang daripada misi asal universiti awam: melahirkan bakat, berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia secara adil, serta menyokong kemajuan negara,” katanya.

11d9a9e24004badedf978011a5d4f6f1
Ling Tian Soon

Ling turut membangkitkan program perakaunan Universiti Malaya (UM) sebagai contoh ketidakjelasan sistem tersebut. 

Menurutnya, walaupun Kementerian Pendidikan Tinggi mengumumkan terdapat 85 tempat disediakan, pihak universiti kemudian menjelaskan jumlah pengambilan boleh mencecah 150-160 apabila kemasukan terus diambil kira.

“Perbezaan ini menunjukkan kekurangan penyelarasan dan ketelusan yang membimbangkan,” katanya, sambil menambah bahawa universiti awam lain juga mengamalkan kaedah serupa.

“Universiti seperti UPM, USM dan UTM turut mempunyai program kemasukan terus, membolehkan pelajar melangkaui UPU dengan membayar yuran lebih tinggi.

Wong yang memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 4.0 dalam STPM sebelum ini dan ingin melanjutkan pengajian dalam kursus perakaunan dilaporkan kecewa apabila enam universiti menolak permohonannya.

Bagaimanapun, pada Rabu lalu Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) mendakwa Wong sebaliknya telah ditawarkan tempat melalui laluan masuk terus yang lebih mahal, selepas dinafikan secara tidak adil untuk menyertai program perakaunan UM.

Umany menegaskan bahawa memandangkan Wong menerima tawaran pengambilan terus itu, ini membuktikan bahawa dia memenuhi syarat kelayakan untuk program tersebut.

Susulan itu, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) tampil menjelaskan Wong yang memperoleh CGPA 4.0 dan skor kokurikulum 99.9% berada pada kedudukan ke-1,129 daripada 2,291 pemohon yang layak ke UM.

Ling berkata lagi, apa yang berlaku itu menimbulkan persoalan serius mengenai kesaksamaan.

“UM menyatakan kemasukan terus hanya berlaku selepas rayuan UPU, dan calon berkenaan mempunyai kualiti setara.

“Persoalannya: jika merit sama, mengapa ada yang diterima melalui UPU manakala yang lain hanya selepas membayar? Siapa yang membuat keputusan dan berdasarkan apa?” soal Ling.

[Baca berita asal]



Source link