Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) hari ini menegaskan pendirian mereka untuk menolak BN menyertai kerajaan Gabuangan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan presiden mereka, Hajiji Noor
Dalam kenyataan media hari ini, Pemuda Gagasan berkata GRS dan rakan-rakan parti itu sudah melepasi had minimum majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri melalui 29 kerusi GRS, lima Adun bebas, Upko (tiga), PH (satu), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyaraka – atau KDM – satu, selain dua Adun Parti Solidariti Tanah Airku (Star).
Selain itu, kata Pemuda Gagasan, tanpa penyertaan BN pun kedudukan kerajaan negeri akan bertambah kukuh dengan penyertaan enam Adun lantikan, sekali gus memastikan kestabilan pentadbiran Sabah.
“Komposisi ahli yang berhormat dalam kerajaan GRS pada ketika ini adalah kukuh, stabil dan mencukupi untuk meneruskan agenda pembangunan negeri tanpa memerlukan sebarang penambahan daripada pihak yang ditolak rakyat.
“Keputusan pengundi wajib dihormati. Rakyat Sabah telah memberikan isyarat yang jelas dengan menolak BN daripada berada dalam kerajaan negeri, dan sebarang cubaan untuk menafikan kehendak rakyat disifatkan tidak wajar,” kata kenyataan itu.
Terdahulu BN mengumumkan kesediaan bekerjasama serta menyokong pembentukan kerajaan negeri yang baru bawah kepimpinan Hajiji selaku ketua menteri yang mendapat mandat sekali lagi.
Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir berkata, kerjasama ini dizahirkan parti itu adalah demi memastikan Sabah terus berada dalam landasan kestabilan, kemakmuran dan pembangunan yang berterusan demi rakyat.
Menurut Pemuda Gagasan pengalaman lalu perlu dijadikan pengajaran dalam pertimbangan menerima BN dalam kerajaan negeri.
Malah kata sayap Gagasan itu lagi, “langkah-langkah sumbang politik” yang berlaku pada 2023 – yang turut digerakkan oleh BN – tidak seharusnya dibiarkan berulang.
“Tambahan pula, BN sendiri secara terbuka sebelum ini enggan bekerjasama dengan GRS, malah melancarkan serangan politik yang luar biasa terhadap GRS serta kepimpinan Hajiji.
“Maka, adalah tidak wajar kini mereka tampil dengan tuntutan untuk disertakan dalam kerajaan.
“Pemuda Gagasan menegaskan bahawa fokus utama kerajaan ketika ini adalah memastikan kestabilan politik, memperkukuh pentadbiran serta mempercepatkan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat Sabah, bukannya melayani percaturan politik yang tidak berlandaskan mandat rakyat,” tambah kenyataan itu lagi.
Gagasan adalah salah satu parti yang menjadi komponen dalam GRS.
Untuk rekod GRS didaftarkan secara rasmi pada 11 Mac 2022. Selain Gagasan – yang diketuai Hajiji – gabungan tersebut turut disertai parti lain seperti Parti Cinta Sabah, Usno dan Star.
BN Sabah mempunyai autonomi sendiri dan kini diketuai Bung Moktar Radin.






