Pemuda DAP Pulau Pinang menggesa Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh meletakkan jawatan sebagai exco kerajaan negeri Melaka, menuduhnya menghina orang kurang upaya (OKU) dan cuba mengalihkan tumpuan apabila dikritik.
Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Organisasi Pemuda DAP merangkap setiausaha publisiti Pemuda DAP Pulau Pinang, Lim Zheng Han berkata, tindakan Akmal itu jelas bertujuan untuk mengalih perhatian, selepas dia mencadangkan agar Pemuda DAP diberikan kad OKU, dan kemudiannya mempersendakan sayap parti itu kerana didakwa tidak memahami bahasa Malaysia.
“Pemuda DAP langsung tidak ‘tersalah faham’ maksud Akmal. Dalam hantaran media facebook sebelum ini, beliau secara terang menyatakan: ‘Bagi Mereka ni cermin dan kad OKU’, dan di penghujung kenyataan itu, turut melabelkan Pemuda DAP sebagai ‘bebal’.
“Walaupun tidak menyatakannya secara langsung, namun konteks dan susunan kata amat jelas. Akmal menyamakan Pemuda DAP dan golongan OKU dengan kebodohan, dan cuba menjadikan label ‘OKU’ sebagai alat untuk menghina pihak lawan politik,” katanya.
Akmal semalam membidas pemimpin Pemuda DAP yang menuduhnya menghina masyarakat OKU.
Menurut Adun Merlimau itu, catatan Facebooknya sebelum ini mengatakan pemimpin Pemuda DAP harus diberikan kad OKU ditujukan kepada sayap parti itu.
Lim berkata kenyataan sedemikian bukan sahaja menunjukkan “penghinaan yang mendalam terhadap OKU”, tetapi juga jelas menunjukkan kelemahan dan ketidakmatangan gaya kepimpinannya kerana gagal sama sekali mencerminkan nilai belas kasihan, tanggungjawab atau integriti.
“Apabila ditegur, beliau bukan sahaja enggan memohon maaf, malah terus menyindir kononnya, Pemuda DAP tidak faham bahasa Melayu – satu helah murahan untuk menutup kesalahan sendiri dan menonjolkan diri seolah-olah bermoral tinggi.
“Ini taktik populis dan perkauman yang berbahaya dan tidak bertanggungjawab, serta mencerminkan strategi ‘lebih dikecam, lebih menyerang’ yang tipikal,” kata Lim.
Tambahnya, sebagai pemimpin sayap Pemuda sebuah parti politik, Akmal seharusnya mencontohi kepimpinan yang berhemah kepada generasi baru.
“Beliau bukan sahaja menghina Pemuda DAP, tetapi juga memperlekeh dan memperalatkan seluruh komuniti OKU untuk kepentingan politiknya.
“Seorang pemimpin muda yang gagal mengaku kesilapan, malah menyerang balik pengkritik dengan tohmahan, tidak layak terus memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri Melaka. Akmal Saleh mesti letak jawatan,” tegasnya.
Perang mulut tercetus selepas sayap Pemuda DAP mengkritik Akmal kerana berulang kali menyuarakan kontroversi mengenai bendera negara dipasang terbalik di sebuah sekolah vernakular di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Media kemudian melaporkan bahawa bendera itu telah tersilap dinaikkan seperti itu oleh seorang pekerja berkeperluan khas.
Akmal, sebagai tindak balas, menggesa tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab dan menyeru pihak berkuasa menyiasat dakwaan Adun Lukut Choo Ken Hwa bahawa insiden itu adalah akibat kesilapan pekerja berkeperluan khas.