Malaysia Oversight

Pemuda DAP persoal larangan hiasan Krismas di premis halal di Melaka 

By MkiniBM in December 19, 2025 – Reading time 2 minute
Pemuda DAP persoal larangan hiasan Krismas di premis halal di Melaka 


Pemuda DAP Melaka mengkritik arahan Jabatan Agama Melaka (Jaim) berkaitan larangan hiasan Krismas di hotel dan premis makanan yang mempunyai sijil halal.

Pergerakan itu berkata, walaupun mereka hormat kepentingan pensijilan halal kepada masyarakat , namun keputusan itu melampaui kuasa Jaim dengan “mengawal ekspresi budaya komuniti lain”.

“Ia juga mencetuskan kekeliruan kepada perniagaan dan mengancam ekonomi berasaskan pelancongan serta reputasi Melaka sebagai destinasi inklusif,” kata Pemuda DAP Melaka dalam kenyataan hari ini.

Dalam arahan dikeluarkan pada 16 Dis yang dilihat oleh Malaysiakini, dinyatakan bahawa dapur dan hotel yang mempunyai sijil halal tidak boleh mempunyai hiasan Krismas kerana ia adalah festival agama, bukan budaya.

Arahan itu menyebut ia boleh membangkitkan isu berkaitan akidah umat .

‘Pemahaman sempit, cetek’

Mengenai perkara itu, sayap Pemuda DAP menegaskan bahawa Krismas sudah lama disambut di Malaysia sebagai sambutan budaya dan sosial.

Justeru, kata mereka, tindakan melabelkannya sebagai ancaman agama secara tiba-tiba hanya menggambarkan pemahaman sempit dan cetek tentang Krismas serta berisiko menjejaskan keharmonian antara agama.

“Hotel, premis makanan dan minuman, serta jenama antarabangsa melabur banyak untuk hiasan dan promosi bermusim.

“Pelaksanaan sekatan ini beberapa minggu sebelum Krismas mengganggu operasi, kempen pemasaran, dan keyakinan perniagaan,” kata Pemuda DAP Melaka.

Sementara itu, kenyataan itu juga berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada anggota Majlis Mesyuarat Negeri Allex Seah serta dibangkitkan kepada Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh.

“Dan majlis mesyuarat negeri akan bincangkan perkara itu dalam mesyuarat mereka akan datang.”

Langkah ke belakang’

Sementara itu, anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Keroh Kerk Chee Yee menggesa negeri menjelaskan perkara itu kepada orang awam.

“Kalau ini benar, maka ia satu langkah ke belakang bagi negeri Melaka,” katanya di Facebook hari ini.

Kerk nyatakan bahawa hotel tempatan menerima tetamu daripada pelbagai latar belakang budaya.

cc588fd1a649dee5b4a63ccd8763998f
Kerk Chee Yee

Malah, katanya, pejabat kerajaan turut dihias sewajarnya untuk meraikan sesuatu perayaan, selaras dengan dasar menghormati kepelbagaian.

“Kita tak boleh membanggakan diri sebagai negeri pelancongan kalau kita terus benarkan arahan macam ini. 

“Saya menyeru supaya kerajaan negeri Melaka betulkan perkara ini dan mengarah Jaim tarik balik arahan ini,” katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan kerajaan negeri berkaitan larangan itu.



Source link