Pemuda DAP Negeri Sembilan menjadi sayap negeri ketiga parti itu dalam menggesa kepimpinan memutuskan hubungan politik dengan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, dengan mendakwanya membawa “politik kebencian” berhubung isu kesilapan Jalur Gemilang.
Pemuda DAP Negeri Sembilan berkata Akmal bertindak keterlaluan dalam mempolitikkan isu tersebut dan sengaja menimbulkan gambaran orang bukan Melayu sebagai tidak patriotik dan tidak cintakan negara.
“Tindakan Akmal bukan sahaja menimbulkan keresahan awam, malah menanam ketakutan dalam kalangan rakyat untuk mengibarkan bendera negara sendiri.
“Beginilah akibat apabila semangat patriotisme disempitkan dengan lensa politik kebencian yang memecahbelahkan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menyusuli Pulau Pinang dan Kedah, Pemuda DAP Negeri Sembilan mengkritik Akmal yang menurutnya hanya “menekan dan membuli” peniaga kecil, namun memberi reaksi berbeza terhadap kesalahan sama oleh Pemuda Umno dan PAS.
“…Sedangkan apabila kesalahan sama dilakukan oleh Pemuda Umno atau yang sekutu dengannya mahupun PAS, Akmal memilih untuk menangani dengan cara yang lain, tidak pernah mendesak untuk mendakwa dalam masa dua hari pun,” katanya lagi.
Sayap itu turut mendakwa Akmal mencabar kedaulatan undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam, apabila peniaga di sekitar kedai perkakasan – yang tersilap mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik – terpaksa menutup kedai mereka lebih awal.

“Perbuatan seperti ini bukan sahaja melampaui batas undang-undang, malah bercanggah dengan norma masyarakat majmuk Malaysia yang berteraskan keharmonian dan saling menghormati,” katanya.
Pemuda DAP Pulau Pinang juga mempersoal jika Akmal “angkuh” sehingga menyamakan dirinya dengan keseluruhan Umno.
“Adakah Akmal angkuh sehingga menyamakan diri dengan keseluruhan parti Umno setanding dengan Presiden Umno yang mempunyai keabsahan untuk menentukan hala tuju parti?”
Justeru, sayap itu menggesa kepimpinan DAP dan Pemuda DAP pusat untuk mengambil pendirian jelas dengan memutuskan hubungan dengan “ ahli politik tidak bertanggungjawab” seperti Akmal.
“Ini demi memastikan Pemuda DAP kekal konsisten untuk menolak politik kebencian dan perpecahan,” katanya.
Seruan daripada Pemuda DAP itu susulan himpunan anjuran Akmal terhadap seorang pemilik kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang, pada Jumaat lalu, selepas individu berkenaan dirakam menggantung bendera negara secara terbalik.
Selepas kejadian itu tular di media sosial, pemilik kedai, Pang Chin Tian berkata ketika itu dia sedang mengukur panjang sebatang tiang besi sambil menggantung bendera, dan tidak sedar ia dalam keadaan terbalik.
Pang telah ditahan dan disiasat polis, manakala Akmal turut disiasat berhubung himpunan tersebut.