Pemuda DAP mengkritik kenyataan pihak yang cuba membangkitkan sentimen perkauman berhubung insiden melibatkan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, pagi tadi.
Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong meluahkan kekecewaannya terhadap penyebaran retorik seumpama itu di media sosial.
“Saya terkilan apabila membaca beberapa mesej Whatsapp yang cuba mewujudkan isu perkauman dengan mengaitkan kaum suspek tersebut.
“Disebabkan suspek tersebut tidak memakai tudung, maka tindakannya yang menyerang Sultan Perak telah dikaitkan kepada ‘tindakan sesetengah kaum’,” kata Woo yang juga Adun Pasir Bedamar dan Exco Perak.
Dia menegaskan ia “sangat tidak membantu” dalam menangani isu berkenaan dan berisiko menghakis semangat perpaduan dalam masyarakat majmuk negara ini.
“Sempena Hari Kemerdekaan ke-68, ayuh kesemua kita khususnya ahli politik memainkan peranan yang sewajarnya untuk membina tanah air kita agar Malaysia menjadi lebih baik,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin mengesahkan polis sedang menyiasat insiden membabitkan seorang wanita yang cuba menyerang Sultan Nazrin Shah semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Ipoh, hari ini.
Dalam kejadian itu, seorang wanita warga tempatan berusia 41 tahun naik ke pentas dan meluru ke arah Sultan Perak ketika lagu kebangsaan dimainkan.
Selain ada rekod lampau berkaitan dadah, polis memaklumkan wanita itu juga mempunyai rekod rawatan psikiatri dan berada di bawah pengawasan pakar.
Dalam pada itu, Woo berkata Pemuda DAP mengecam tindakan itu, yang disifatkan sebagai “tidak boleh ditoleransi dan diambil mudah”.
“Siasatan susulan yang menyeluruh wajib dilakukan oleh agensi penyiasat tanpa sebarang kompromi dan perkembangan semasa harus didedahkan kepada masyarakat umum dari semasa ke semasa,” katanya lagi.