Seorang pemimpin Bersatu menggesa Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) untuk memberikan pendedahan penuh berhubung dua isu yang melanda syarikat itu.
Salah satunya ialah berkaitan dengan kebenaran bersyarat yang diberikan kepada Bumi Suria Sdn Bhd untuk memohon lesen mencarigali dan satu lagi melibatkan perjalanan jet peribadi yang membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif SMM Natasha Sim.
“Kami menuntut pendedahan penuh, akauntabiliti dan keadilan,” kata Ketua Pemuda Bersatu Sabah Hisyam Hazaril dalam satu kenyataan hari ini.
Syarikat Bumi Suria dikaitkan dengan bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Pada 21 Julai, portal berita MalaysiaNow menerbitkan dokumen yang didakwa membuktikan Farhash menerima kebenaran untuk mencari galian merentasi hutan simpan yang besar di Sabah.
Farhash menafikan dakwaan itu dan telah mengeluarkan suarat undang-undang kepada MalaysiaNow serta membuat laporan polis terhadap portal itu. SMM turut menafikan perkara tersebut.
Pada 24 Julai, MalaysiaNow menerbitkan klip audio yang dikaitkan dengan dakwaan bahawa lesen carigali perlombongan arang batu di Sabah telah diluluskan untuk sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash.
Sebagai tindak balas, SMM berkata ia memberikan kebenaran bersyarat untuk memohon lesen mencari gali kepada Bumi Suria, tetapi ia kemudiannya dibatalkan selepas syarikat itu gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan.
Ia berkata pada 24 Mac, selepas syarikat itu gagal memfailkan dokumen yang diperlukan, ia mengeluarkan surat rasmi pembatalan.
SMM menuduh MalaysiaNow sengaja mengenepikan “fakta” tersebut dalam laporan mereka.
Hisyam pula berkata SMM tidak boleh mengenepikan skandal berkenaan dengan hanya mengumumkan kebenaran bersyarat kepada Bumi Suria telah dibatalkan.
Mengenai isu jet peribadi, pemimpin Bersatu itu berkata syarikat itu tidak boleh mengenepikan perkara itu dengan hanya menjalankan siasatan dalaman, sambil menambah ia gagal menimbulkan keyakinan orang ramai.
“Siasatan yang dijalankan secara dalaman oleh individu yang sama ada bekerja atau bertanggungjawab kepada institusi yang diteliti tidak boleh, mengikut definisi, bebas.
“Proses sedemikian sememangnya bercanggah dan tidak mempunyai kesaksamaan struktur yang diperlukan untuk menghasilkan penemuan yang boleh dipercayai orang ramai,” kata Hisyam.
Pada 18 Julai, gambar tular yang menunjukkan beberapa individu dengan bagasi di sebelah jet peribadi mencetuskan kontroversi politik baru di negeri itu.
Imej itu didakwa memaparkan Sim, setiausaha syarikat Emily Chong, dan taikun kayu Sabah Elbert Lim berdiri di sebelah jet yang dikatakan milik seorang jutawan arang batu Indonesia.
Pada 21 Julai, SMM menafikan sebarang salah laku dan menyifatkan laporan media yang menyusul sebagai “palsu, mengelirukan dan memfitnah”.
Ia berkata siasatan dalaman yang dibuat pada Februari mendapati tiada konflik kepentingan, keuntungan peribadi, atau pengaruh tidak wajar berhubung insiden itu.
SMM juga menjelaskan bahawa ia bukan pihak berkuasa pelesenan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya tidak mempunyai kuasa untuk memberikan atau meluluskan sebarang lesen.
Tidak terkesan dengan penjelasan itu, Hisyam berkata siasatan dalaman itu juga tidak memberikan butiran berhubung komposisi, mandat, metodologi atau skop siasatan dalaman.
“Siapa yang menjalankan siasatan? Adakah penyiasat luar atau badan pengawasan terlibat?
“Adakah saksi ditemu bual, dan adakah pendedahan konflik kepentingan dibuat oleh penyiasat sendiri? Paling penting, di manakah laporan penuh?” soal Hisyam.
“Kegagalan untuk menerbitkan penemuan komprehensif siasatan ‘dalaman bebas’ ini menimbulkan tanda tanya,” tambahnya.