Pemuda Amanah tampil untuk meredakan ketegangan yang semakin meningkat antara Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh dan Pemuda DAP dengan menawarkan diri untuk menjadi perantara bagi memulihkan hubungan antara rakan dalam kerajaan perpaduan.
Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda berkata kekuatan gabungan itu terletak pada kematangan politik, kebijaksanaan menangani perbezaan dan keupayaan mencari titik persamaan.
“Perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam sebuah gabungan yang pelbagai ideologi. Namun, apabila perbezaan itu dibawa keluar daripada semangat musyawarah dan berubah menjadi serangan terbuka, ia hanya akan merugikan agenda besar kita membina negara,” katanya dalam kenyataan hari ini,
Kata Hasbie, Pemuda Amanah bersedia menjadi jambatan penghubung untuk kedua-dua sayap pemuda tersebut “duduk semeja untuk berdialog secara beradab”.
“Perbezaan pandangan adalah lumrah, namun semangat setiakawan dalam membina negara mesti sentiasa dipelihara.
“Pemuda Amanah mengajak semua sayap pemuda parti-parti kerajaan untuk kembali ke meja dialog dan bersama menganjurkan program yang mengangkat patriotisme, hormat-menghormati, dan khidmat kepada rakyat.
“Cinta negara harus diterjemahkan melalui pendidikan, kerja kemasyarakatan, dan perbincangan beradab, bukan melalui ugutan atau penghinaan,” katanya lagi.
Seruan itu di tengah pertikaman lidah terbuka antara kepimpinan Pemuda Umno dan Pemuda DAP, selepas sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.
Terdahulu hari ini, Pemuda DAP Pulau Pinang menggesa kepimpinan pusat parti itu memutuskan hubungan dengan Akmal serta mendakwa dia bertindak bertentangan dengan prinsip keterangkuman kerajaan perpaduan.
Seruan yang sama turut dibuat Pemuda DAP Kedah, yang mengecam Akmal sebagai “tali barut PN”.
Ia selepas Akmal, yang juga Adun Merlimau, mengetuai protes di depan kedai perkakasan berkenaan semalam.
Walaupun polis telah mengesahkan sedang menyiasat insiden tersebut dan meminta semua pihak supaya bersabar, Akmal tetap meneruskan protes yang turut disertai anggota Pemuda Bersatu.
Hari ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengarahkan semua wakil pemuda parti membuat laporan polis terhadap Akmal berhubung isu tersebut.
Dia berkata tindakan “intimidasi dan buli” oleh Akmal hanya memburukkan lagi ketegangan.