Pempengaruh Aliff Ahmad yang hadir di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk soal siasat berkata dia memohon kepada pegawai suruhanjaya itu untuk mendakwanya di Mahkamah.
Ini berhubung hantaran Facebooknya yang menawatkan untuk membuat ‘scrut’ atau carian latar belakang menggunakan sistem Scrut Analytica ke atas bekas ahli parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.
“Untuk memudahkan urusan mereka. Aku telah sediakan SD (Akuan Berkanun) yang mengaku laman (page) Aliff Ahmad adalah milik aku, dan hantaran tersebut aku yang buat.
“Aku juga bersedia untuk didakwa. Bahkan aku mohon untuk didakwa. Dengan SD tersebut, maka mudahlah pihak pendakwaan nak mendakwa.
“Aku tak lari, tak mengelak, tak padamkan. Aku mengaku, bertanggungjawab, dan bersedia untuk didakwa. Jadi, telefon aku tidak perlu dirampas. Ya, telefon aku tidak dirampas,” katanya di Facebook hari ini.
Aliff menyebut bahawa dia tiba di pejabat MCMC hari ini pada 10.40 pagi untuk disoal siasat, dan menurutnya seorang pegawai polis turut menyertai sesi berkenaan.
Dia kini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.
Semalam, Aliff mengesahkan SKMM telah memanggilnya atas tawaran untuk menjalankan ‘scrut’ terhadap Nurul Izzah.
Aliff yang merupakan pengasas bersama sistem itu berkata dia menerima notis rasmi memanggilnya untuk hadir di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya pada pukul 8 malam semalam, namun hanya dapat hadir hari ini.
Terdahulu, Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR menafikan membuat sebarang laporan kepada MCMC terhadap Aliff.
“Dia tidak sepatutnya disiasat hanya kerana membuat cabaran atau kenyataan seperti yang dinyatakan.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya mahupun mana-mana pegawai saya tidak pernah membuat sebarang laporan kepada MCMC terhadap saudara Aliff, seperti yang didakwa,” katanya.
Nurul Izzah berkata dia tidak mengenali mahupun pernah bertemu Aliff.
“Saya juga tidak pasti cara dia mencari rezeki, tetapi sudah tentunya kita harus menyokong segala usaha yang mengikuti garis panduan undang-undang.
“Justeru, adalah penting untuk semua pihak berhati-hati dalam membuat tuduhan yang boleh mencemarkan reputasi dan menjejaskan kredibiliti mana-mana pihak tanpa asas yang kukuh,” katanya lagi.
Sementara itu, mengulas lanjut, Aliff berkata jika dia didakwa di mahkamah, pihak pendakwaan tidak mempunyai pilihan selain mendedahkan identiti orang yang membuat laporan itu.
“Aku juga nak tengok, bagaimana hujah pendakwaan nanti. Sangat menarik,” katanya.
Aliff menyatakan jika tiada pertuduhan, ia akan menjadi kes ugutan yang jelas, yang membazir masa pihak berkuasa dan dirinya sendiri.