Polis kini memberi perhatian serius terhadap peningkatan kes antun seksual atau child grooming melibatkan pempengaruh media sosial dan tokoh awam yang disanjung sebagai idola masyarakat.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata statistik semasa menunjukkan lebih 30 peratus kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang dilaporkan kepada polis membabitkan golongan berpengaruh ini.
Jelasnya, individu-individu tersebut dipercayai mengeksploitasi pengaruh mereka di platform sosial untuk mendekati mangsa di bawah umur, membina kepercayaan sebelum melakukan perbuatan tidak bermoral.
“Kes seperti ini semakin meningkat kerana golongan idola atau individu berpengaruh ini kini tumbuh bagai cendawan di platform media sosial, berbanding dahulu,” katanya seperti dilaporkan Kosmo.

“Bukan semua influencer hanyalah pencipta kandungan media sosial.
“Guru, artis, atlet atau tokoh agama juga sering dianggap idola oleh orang ramai,” tambahnya, merujuk kepada pelbagai latar yang sering mendapat kepercayaan awam.
Fenomena ini turut dipacu oleh kemudahan media sosial yang memudahkan pemangsaan seksual berlaku secara senyap, kata Siti Kamsiah.
Polis kini memperhebatkan usaha risikan bagi mengesan penyebaran kandungan seksual membabitkan kanak-kanak, khususnya secara dalam talian.

Katanya lagi, inisiatif ini sebahagian langkah pencegahan untuk membendung normalisasi bahan lucah dalam kalangan pengguna muda, yang terdedah berulang kali sehingga berisiko mengalami ketagihan seksual.
“Kami juga mengenal pasti rangkaian dalam talian mereka, termasuk ahli kumpulan, sebelum melakukan tangkapan,” katanya.
Menurut Siti Kamsiah, polis turut bekerjasama dengan unit psikologi dan kriminologi dalam membangunkan pangkalan data profil tingkah laku pesalah seksual.
Kes terbaru menyaksikan seorang pempengaruh media sosial ditahan dan direman empat hari minggu lalu, susulan siasatan terhadap dakwaan menghantar gambar lucah kepada seorang remaja perempuan.
Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Noor Ariffin Mohamad Nasir, siasatan terhadap suspek dijalankan di bawah Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang merangkumi serangan seksual bukan fizikal terhadap individu bawah umur.
Siti Kamsiah memaklumkan siasatan kes membabitkan pempengaruh itu masih berjalan.